Letupan mercun punca kebakaran, seorang lelaki ditahan

KAJANG – Kebakaran sebuah unit pangsapuri di sini dipercayai berpunca daripada beberapa kotak mercun yang disimpan di dalam rumah tersebut meletup dalam kejadian pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 10.50 malam.
"Sepasukan anggota dari Balai Polis Bangi bersama Pasukan Bomba dan Penyelamat Bangi segera ke lokasi sebaik menerima maklumat sebelum kebakaran berjaya dikawal tidak lama kemudian.
“Siasatan awal mendapati, kebakaran berpunca daripada letupan beberapa kotak mercun yang dibeli dan disimpan untuk tujuan jualan tanpa sebarang lesen atau permit oleh penyewa unit berkenaan.
“Akibat kejadian itu, keseluruhan unit kondominium terbabit terbakar. Jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Naazron berkata, susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki warga tempatan berusia 33 tahun yang juga seorang peniaga di sekitar Bangi pada jam kira-kira 12.17 tengah hari Isnin.
Katanya, suspek akan dibawa ke hadapan Majistret bagi permohonan reman untuk membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957. Siasatan kebakaran turut dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Inspektor Ravin Ragayan ditalian 0126269250 bagi membantu siasatan," katanya.
Ringkasan AI
- Kebakaran sebuah unit pangsapuri di Kajang dipercayai berpunca daripada beberapa kotak mercun meletup
- Polis menerima laporan kejadian pada jam 10.50 malam Ahad
- Siasatan awal mendapati mercun tersebut disimpan untuk tujuan jualan tanpa lesen
- Seorang lelaki warga tempatan berusia 33 tahun telah ditahan
- Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
