Dua penjawat awam direman kes tuntutan palsu bekalan makanan sekolah

KEMAMAN - Dua penjawat awam direman enam hari sehingga 25 Januari ini bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu berkaitan pembekalan makanan sekolah di daerah ini.
Perintah reman terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan oleh Majistret Marsha Abdul Malik selepas permohonan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kemaman pada Selasa.
Menurut sumber, kedua-dua suspek yang terdiri daripada seorang lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan lewat 40-an itu ditahan kira-kira jam 3 petang ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kemaman.
Siasatan awal mendapati mereka disyaki terlibat dalam pemalsuan tuntutan bernilai kira-kira RM23,000 membabitkan perolehan pembekalan makanan di sebuah sekolah di Kemaman bagi tempoh 2023 hingga 2024.
Bagaimanapun, hasil siasatan mendapati tiada bekalan makanan sebenar dilaksanakan seperti yang dinyatakan dalam tuntutan berkenaan.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan memberitahu kes itu disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Beliau berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan tangkapan susulan akan dibuat bagi membantu siasatan.
Ringkasan AI
- Dua penjawat awam direman enam hari untuk siasatan kes tuntutan palsu pembekalan makanan di sekolah Kemaman
- Majistret Kemaman keluarkan perintah reman setelah permohonan oleh SPRM
- Kedua-dua suspek, seorang lelaki dan seorang wanita, ditahan ketika memberi keterangan di Pejabat SPRM Kemaman
- Disyaki terlibat dalam pemalsuan tuntutan RM23,000 untuk pembekalan makanan yang tidak dilaksanakan
- SPRM Terengganu tidak menolak kemungkinan tangkapan susulan untuk siasatan kes ini
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

