Iran ancam bedil pangkalan tentera AS jika diserang

DOHA - Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi memberi amaran bahawa sebarang tindakan agresif terbuka oleh Amerika Syarikat akan menyebabkan pangkalan tentera AS di Asia Barat menjadi sasaran serangan.
“Jika AS menyerang Iran, kami akan menyerang pangkalan Amerika di rantau ini kerana ia adalah sasaran yang boleh dicapai,” kata Araghchi ketika berucap di sidang Forum Al Jazeera ke-17 di Doha pada Sabtu.
Beliau menegaskan bahawa Teheran tidak akan menyerang tanah negara jiran, sebaliknya hanya menumpukan serangan ke pangkalan tentera AS.
Araghchi menambah bahawa Angkatan Bersenjata Iran bersedia sepenuhnya untuk memberi tindak balas tegas pada bila-bila masa terhadap sebarang tindakan bermusuhan.
Diplomat kanan Iran itu turut menegaskan bahawa program misil Iran adalah perkara pertahanan yang tidak boleh dirunding.
Beliau juga menekankan hak Iran untuk memperkaya uranium dan bahawa proses ini akan diteruskan, sambil menambah bahawa sebarang serangan tentera sebelum ini gagal menjejaskan keupayaan negara itu.
Araghchi menolak sebarang cadangan pengayaan uranium sifar peratus, menekankan bahawa isu ini berada di luar perbincangan rundingan.
Dalam perkembangan lain, Araghchi merujuk kepada rundingan nuklear antara Iran dan Amerika Syarikat yang berlangsung di Muscat, Oman, sehari sebelum kenyataannya.
Beliau menyifatkan rundingan itu sebagai 'permulaan yang baik' tetapi memberi amaran bahawa perjalanan panjang diperlukan untuk membina keyakinan.
Menurut Araghchi, rundingan dengan AS bersifat tidak langsung dan tertumpu sepenuhnya kepada isu nuklear.
Teheran berulang kali menegaskan bahawa sebarang perjanjian tanpa manfaat ekonomi yang nyata tidak akan memberi nilai praktikal, menjadikan masa dan hasil rundingan itu kritikal bagi Iran.
Dari perspektif Iran, hak sah memperkaya uranium di tanah sendiri adalah garisan merah dalam rundingan.
Sebarang langkah teknikal hanya boleh dipertimbangkan dalam kerangka yang mengiktiraf hak ini, sementara sebarang syarat tambahan dilihat sebagai tanda niat buruk pihak lain.
Sebelum serangan udara AS-Israel pada pertengahan Jun terhadap negara itu dan fasiliti nuklearnya, Iran telah mengadakan lima pusingan rundingan bagi menggantikan Perjanjian Nuklear 2015. - Agensi
Ringkasan AI
- Menteri Luar Iran memberi amaran tindakan agresif AS akan menyasar pangkalan tentera AS di Asia Barat
- Teheran tidak akan menyerang negara jiran tetapi hanya pangkalan tentera AS
- Angkatan Bersenjata Iran bersedia bertindak balas terhadap tindakan bermusuhan
- Program misil Iran adalah untuk pertahanan dan tidak boleh dirunding
- Rundingan nuklear Iran-AS berlangsung di Muscat, Oman sebagai permulaan yang baik tetapi memerlukan perjalanan panjang untuk membina keyakinan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

