Iran beri respons positif selepas bertemu AS

Perbincangan pertama tersebut memfokuskan program nuklear Teheran yang ditakuti Barat.
Perbincangan pertama tersebut memfokuskan program nuklear Teheran yang ditakuti Barat.
A
A
A

MUSCAT - Iran pada Jumaat menjangkakan lebih banyak rundingan susulan bersama Amerika Syarikat (AS) selepas pertemuan pertama di Oman menunjukkan kemajuan positif.

Menteri Luar, Abbas Araghchi yang mengetuai delegasi tersebut berkata, perbincangan tersebut memfokuskan program nuklear Teheran yang didakwa Barat bertujuan untuk membangunkan bom atom.

"Kami saling bertukar pandangan dan hujah. Kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan proses rundingan, namun kami akan menentukan kaedah dan masa kemudian," jelasnya.

Menurutnya, langkah seterusnya bergantung pada perbincangan atau rundingan yang akan dibuat dengan kerajaan pusat.

"Saya berharap Washington dapat menghentikan retorik ugutan dan tekanan bagi melancarkan proses ini," tambahnya lagi.

Tidak lama selepas pertemuan pertama sejak perang selama 12 hari pada Jun 2025 itu selesai, AS mengumumkan sekatan baharu untuk mengekang eksport minyak Teheran.

Jurucakap Jabatan Negara, Tommy Pigott mendakwa Iran menggunakan hasil minyak kononnya untuk membiayai aktiviti yang menggugat kestabilan seluruh dunia dan melakukan penindasan secara berleluasa.

"Sekatan ini akan berkuat kuasa ke atas 14 kapal yang mengangkut minyak dari Teheran. Selain itu, tindakan tegas sama dikenakan ke atas 15 entiti dan dua individu," ujarnya.

Hubungan antara AS-Iran kian tegang sejak bulan lalu selepas Presiden Donald Trump mengerahkan armada kapal perang ke perairan Asia Barat. - Agensi

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Iran menjangkakan lebih banyak rundingan dengan AS selepas pertemuan positif di Oman
  • Pertemuan fokus pada program nuklear Teheran
  • Kedua-dua pihak bersetuju untuk meneruskan proses rundingan
  • Iran mengharapkan Washington hentikan retorik ugutan
  • AS mengumumkan sekatan baharu terhadap eksport minyak Teheran

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!