Rakyat Thailand keluar mengundi untuk pilih ahli parlimen baharu

BANGKOK - Rakyat Thailand keluar ke pusat mengundi di seluruh negara pada Ahad bagi memilih 500 Ahli Dewan Perwakilan dan mengundi satu referendum untuk mengukur sokongan orang awam terhadap penggubalan sebuah perlembagaan baharu.
Pilihan raya kali ini merupakan yang ke-28 buat Thailand sejak sistem raja berperlembagaan diamalkan pada 1932, yang mencerminkan sejarah demokrasi berparlimen selama 94 tahun di negara itu.
Pusat mengundi di seluruh negara dibuka bermula jam 8 pagi dan akan ditutup pada 5 petang waktu tempatan, dengan anggaran 52.9 juta pemilih layak mengundi.
Daripada 500 kerusi Dewan Perwakilan yang dipertandingkan, sebanyak 400 kerusi dipilih mengikut kawasan pilihan raya ahli tunggal melalui sistem pemenang undi terbanyak, manakala baki 100 kerusi diperuntukkan kepada parti-parti berdasarkan sistem perwakilan berkadar.
Pengundi akan diberikan tiga kertas undi - kertas hijau untuk ahli Parlimen (MP) kawasan, kertas merah jambu untuk MP senarai parti, dan kertas kuning untuk referendum perlembagaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) menjangkakan peratusan keluar mengundi yang memberangsangkan susulan proses pengundian awal Ahad lepas, terutamanya di Bangkok yang menyaksikan kira-kira 87 peratus pengundi berdaftar dilaporkan telah menunaikan tanggungjawab mereka.
Bangkok mempunyai bilangan kawasan pilihan raya terbesar dengan 33 kerusi berdasarkan populasinya yang berjumlah kira-kira 5.4 juta, diikuti oleh Nakhon Ratchasima dengan 16 kerusi.
Sebanyak 57 parti politik bertanding dalam pilihan raya ini dengan meletakkan 5,096 calon di seluruh negara, manakala 93 individu daripada 43 parti dicalonkan sebagai calon perdana menteri.
Pilihan raya awal ini diadakan selepas Anutin Charnvirakul, Perdana Menteri ketiga Thailand sejak pilihan raya 2023, membubarkan dewan rendah Parlimen pada 12 Dis tahun lepas susulan ancaman undi tidak percaya.
Pemerhati menjangkakan persaingan ini akan menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Parti Bhumjaithai pimpinan Anutin, pembangkang progresif yang diterajui Parti Rakyat, dan Parti Pheu Thai yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra.
Menurut Jabatan Meteorologi Thailand, keadaan cuaca pada pagi ini dijangka baik dengan suhu di tengah Thailand berada di antara 24 hingga 35 darjah Celsius sepanjang hari. - Bernama
Ringkasan AI
- Rakyat Thailand mengundi untuk memilih 500 Ahli Dewan Perwakilan dan referendum perlembagaan baharu
- Pilihan raya ke-28 sejak 1932, mencerminkan sejarah demokrasi berparlimen 94 tahun
- 52.9 juta pemilih layak mengundi dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang
- 400 kerusi Dewan Perwakilan dipilih melalui sistem pemenang undi terbanyak, 100 kerusi melalui sistem perwakilan berkadar
- 57 parti politik bertanding, mempersembahkan 5,096 calon dan 93 individu dicalonkan sebagai calon perdana menteri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
