Penggunaan kalimah Islam oleh bukan Muslim diharuskan selagi tidak hina agama - Pejabat Mufti WP

Kenyataan dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di Facebook pada Jumaat.
Kenyataan dikeluarkan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan di Facebook pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM – Penggunaan kalimah-kalimah Islam seperti Alhamdulillah, Insya-ALLAH, Masya-ALLAH dan seumpamanya oleh golongan bukan Islam dalam perbualan harian adalah diharuskan, selagi ia tidak merendahkan kesucian agama Islam serta tidak mengandungi unsur penghinaan.

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan memaklumkan, dalam konteks masyarakat majmuk di Malaysia, fenomena penggunaan kalimah Islam oleh sebahagian bukan Muslim adalah sesuatu yang normal dan berlaku hasil pergaulan antara budaya serta agama.

Menurut penjelasan itu, dari sudut hukum syarak, perbuatan berkenaan dibenarkan dengan syarat ia digunakan dalam konteks yang betul dan tidak dijadikan bahan olok-olok atau persendaan terhadap Islam.

“Sekiranya seorang bukan Muslim mengucapkan Alhamdulillah, termasuk selepas bersin, maka harus bagi seorang Muslim menjawab dengan doa seperti ‘semoga ALLAH memberi hidayah kepada kamu’ atau ‘semoga ALLAH memberi kesembuhan kepada kamu’,” menurut kenyataan itu.

Penjelasan tersebut bersandarkan hadis yang diriwayatkan daripada Abu Musa RA, yang menyebut bahawa golongan Yahudi pada zaman Rasulullah SAW sengaja bersin di hadapan Baginda dengan harapan didoakan rahmat, namun Baginda SAW mendoakan agar mereka diberikan hidayah dan diperbaiki keadaan.

Bagaimanapun, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menegaskan bahawa tidak dibenarkan untuk memohon keampunan atau rahmat ALLAH kepada orang kafir kerana rahmat tersebut adalah khusus untuk orang beriman.

Dalam hal ini, ulama seperti Syeikh Mulla ‘Ali al-Qari menjelaskan bahawa doa yang sesuai untuk bukan Muslim ialah agar mereka diberikan hidayah dan taufiq untuk beriman kepada ALLAH SWT.

“Keharusan ini tidak terpakai sekiranya kalimah-kalimah suci Islam digunakan dengan niat menghina, memperlekeh atau mempersendakan agama,” jelas kenyataan itu.

Dalam situasi sedemikian, umat Islam ditegaskan supaya menjauhi majlis atau perbualan yang mengandungi unsur penghinaan terhadap ayat-ayat ALLAH, selaras dengan firman ALLAH SWT dalam Surah al-Nisa ayat 140.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan menggariskan beberapa panduan penting berkaitan penggunaan kalimah Islam oleh bukan Muslim, antaranya tidak digunakan dalam bentuk penghinaan, tidak dijadikan bahan komersial yang mencemarkan makna asal serta perlu difahami maksud sebenar kalimah berkenaan agar digunakan dalam situasi yang tepat.

Secara keseluruhan, penggunaan kalimah Islam oleh bukan Muslim dalam perbualan harian adalah dibenarkan dalam suasana masyarakat majmuk, namun tertakluk kepada adab, konteks dan penghormatan terhadap kesucian agama Islam.

Ringkasan AI

  • Penggunaan kalimah Islam oleh bukan Islam diharuskan selagi tidak merendahkan kesucian Islam
  • Fenomena penggunaan kalimah Islam oleh bukan Muslim adalah normal dalam masyarakat majmuk Malaysia
  • Penggunaan kalimah harus dalam konteks yang betul dan bukan untuk persendaan
  • Keharusan mengucap seperti Alhamdulillah oleh bukan Muslim diikuti respons doa dari Muslim yang sesuai
  • Pemohonan keampunan atau rahmat ALLAH khusus untuk orang beriman, bukan untuk orang kafir

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!