Istilah Islam perlu dilihat secara betul, elak perbalahan – Aiman Athirah

 Aiman Athirah
Aiman Athirah
A
A
A

SHAH ALAM - Penggunaan istilah Islam seperti 'Alhamdulillah' dan 'Insya-ALLAH' oleh bukan Islam perlu dilihat dan difahami secara betul bagi mengelakkan tercetusnya perbalahan agar keharmonian masyarakat majmuk di negara ini terpelihara.

Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, ada yang menganggap istilah-istilah tersebut eksklusif untuk umat Islam, manakala sebahagian lain melihatnya sebagai ungkapan umum yang merujuk kehidupan manusia kepada adanya Tuhan.

"Secara asasnya, ungkapan berkenaan bermaksud segala puji bagi ALLAH dan jika diizinkan ALLAH adalah lafaz pujian dan pengakuan terhadap kekuasaan Tuhan.

"Penggunaannya tidak secara automatik menjadikan seseorang itu Muslim. Keislaman hanya sah melalui pengucapan dua kalimah syahadah dengan yakin," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau mengulas kritikan yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Rantau Panjang terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, ketika sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat.

Aiman Athirah berpandangan, kritikan berkenaan bersifat emosi dan memalukan dengan pertanyaan yang boleh memberi gambaran bahawa hanya orang yang telah beriman boleh menggunakan istilah-istilah Islam itu.

"Hanya kerana kita Islam dan yakin kita beriman, bukanlah lesen untuk kita wewenangan memalukan rakan ahli dewan lain seperti ini.

"Ia memburukkan wajah Islam, dan menakutkan, memberi mesej yang salah tentang bagaimana akhlak Islam itu sebenarnya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut menegaskan bahawa pendekatan Maqasid Syariah dan Fiqh Awlawiyyah mengutamakan pemeliharaan agama serta keharmonian masyarakat, di samping mendahulukan usaha dakwah dan penyatuan hati.

Aiman Athirah berkata, penggunaan istilah Islam oleh bukan Islam juga boleh membuka ruang dakwah dan mencerminkan rasa hormat terhadap Islam sebagai agama Persekutuan.

"Sepanjang saya membantu beliau (Nga Kor Ming) dalam menerajui KPKT, istilah-istilah ini adalah lafaz biasa dan sinonim dengan beliau. Tiada apa yang boleh ditafsirkan sebagai YBM mempersenda apatah lagi menghina agama Islam.

"Dalam banyak keadaan beliau dilihat sentiasa mencari jalan mengurangkan perbezaan dan menyatukan semua dengan 'budaya Malaysia' meski dalam kepelbagaian," katanya.

Ringkasan AI

  • Penggunaan istilah Islam oleh bukan Islam harus difahami dengan betul untuk menjaga keharmonian masyarakat majmuk
  • Ungkapan seperti 'Alhamdulillah' dan 'Insya-ALLAH' bermaksud pujian kepada Tuhan dan tidak menjadikan penggunanya Muslim
  • Kritikan terhadap penggunaan istilah Islam oleh bukan Islam dianggap emosi dan memburukkan wajah Islam
  • Pendekatan Maqasid Syariah dan Fiqh Awlawiyyah mengutamakan pemeliharaan agama dan keharmonian masyarakat
  • Penggunaan istilah Islam oleh bukan Islam bisa membuka ruang dakwah dan mencerminkan rasa hormat terhadap Islam

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!