'Hormat Islam sebagai agama Persekutuan, mana ada dipermainkan perkataan tak elok' - Kor Ming

SHAH ALAM - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming membidas sikap pemimpin Pas yang sering menganggap perbuatan orang lain haram walaupun perkara itu berniat baik.
Kor Ming berkata, sebaliknya jika ia dilakukan oleh parti mereka semuanya baik dan boleh diterima.
"Jangan ikut tabiat parti Pas, semua yang dia lakukan halal, bila orang lain lakukan perkara yang baik pun dianggap haram.
"Dalam masyarakat berbilang kaum seperti Malaysia, amalan saling menghormati itu penting dan rakyat tidak harus dipisahkan dengan faktor warna kulit mahupun kepercayaan agama," katanya menerusi laman Facebook pada Jumaat.
Sebelum ini, tindakan Kor Ming, menggunakan pelbagai 'kalimah Islam' ketika ucapan penggulungan kementeriannya mencetuskan persoalan daripada seorang Ahli Parlimen Pas yang memberi amaran supaya tidak 'mengelirukan rakyat'.
Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) yang bangun mencelah ucapan Kor Ming ketika sesi penggulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut bertanya secara terus kepada Ahli Parlimen Teluk Intan itu jika dia 'sudah beriman'.
Dalam masa sama Kor Ming menegaskan bahawa dalam kerangka Madani itu ada hormat dan ihsan.
Jelas beliau, semua pihak tidak seharusnya cenderung kepada isu yang bercanggah dengan perpaduan untuk membawa kepada penyatuan sebuah keluarga.
"Kita sebagai rakyat malaysia kena menghormati agama Islam sebagai agama Persekutuan, mana ada dipermainkan perkataan tak elok.
"Anak Malaysia itu terdiri daripada Melayu,Cina, India, Kadazan Iban dan Dayak. Kita semua sejiwa.
"Lagipun, Alhamdulillah perkataan arab dalam bahasa bersyukur," ujarnya.
Ringkasan AI
- Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming membidas sikap pemimpin Pas yang menganggap perbuatan baik orang lain sebagai haram
- Kor Ming menyatakan perbuatan yang sama jika dilakukan oleh Pas dianggap baik dan halal
- Beliau menekankan pentingnya amalan saling menghormati dalam masyarakat berbilang kaum di Malaysia
- Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff dari Pas mencelah ucapan Kor Ming dengan pertanyaan mengenai keimanan
- Kor Ming menegaskan pentingnya hormat dan ihsan dalam kerangka Madani serta pentingnya menghormati agama Islam sebagai agama Persekutuan di Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

