Desakan ambil tindakan keras terhadap Hamzah makin kuat

SHAH ALAM – Lembaga Disiplin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dituntut segera membuka siasatan menyeluruh, telus dan tanpa sebarang perlindungan politik terhadap Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Ia susulan dakwaan yang mengaitkan diri beliau sebagai dalang dalam tindakan terancang memperlekehkan kepimpinan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta mencemarkan imej parti.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Harrison Hassan berkata, terdapat unsur kritikan serta penghinaan terbuka terhadap kepimpinan parti yang dilihat biadab, tidak bertanggungjawab dan jelas mencabar disiplin parti, sekali gus tidak boleh diterima dalam parti politik.
Lebih membimbangkan, beliau memaklumkan, terdapat dakwaan semakin kuat bahawa Hamzah bukan sekadar berdiam diri, malah didakwa menjadi dalang di sebalik siri tindakan terancang yang bertujuan memperlekehkan kepimpinan presiden parti serta mencemarkan imej Bersatu di mata rakyat.
"Perbuatan ini bukan sekadar mencerminkan keangkuhan politik, malah merupakan satu bentuk penderhakaan terbuka terhadap kepimpinan yang sah.
"Ia jelas bercanggah dengan Perlembagaan Bersatu yang menuntut setiap ahli dan pemimpin memelihara disiplin parti, menghormati struktur kepimpinan, serta mengelakkan sebarang tindakan yang boleh memudaratkan perpaduan dan nama baik parti," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Harrison berkata, Bersatu bukan medan untuk permainan politik kotor atau agenda peribadi berselindung di sebalik sindiran dan ejekan.
Katanya, mana-mana pemimpin yang memilih untuk melemahkan parti dari dalam, memalukan presiden secara terbuka, dan menghasut perpecahan jelas telah mengkhianati amanah ahli serta prinsip asas perjuangan Bersatu.
"Jika benar Datuk Seri Hamzah Zainuddin terlibat secara langsung atau tidak langsung sebagai perancang kepada tindakan-tindakan ini, maka ia merupakan satu pelanggaran serius terhadap Perlembagaan Bersatu dan etika kepimpinan.
"Parti tidak boleh berkompromi dengan unsur sabotaj dalaman yang merosakkan kestabilan dan masa depan perjuangan," ujarnya lagi.
Justeru, Harrison yang juga Ketua Bahagian Bersatu Kuala Selangor dengan tegas menuntut Lembaga Disiplin parti untuk segera membuka siasatan menyeluruh, telus dan tanpa sebarang perlindungan politik terhadap Hamzah.
"Sekiranya dakwaan ini dibuktikan, tindakan disiplin paling tegas mesti diambil selaras dengan peruntukan Perlembagaan parti. Tiada siapa, walau setinggi mana jawatannya boleh diletakkan mengatasi parti dan presidennya," menurutnya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan, Bersatu mesti memilih sama ada mahu berdiri sebagai sebuah parti yang berprinsip dan berdisiplin, atau membiarkan dirinya dihancurkan oleh pemimpin yang mementingkan nafsu kuasa dan agenda peribadi.
"Parti yang gagal bertindak tegas hari ini akan kehilangan maruah dan kepercayaan rakyat esok," tambah Harrison lagi.
Ringkasan AI
- Lembaga Disiplin Bersatu dituntut siasat Datuk Seri Hamzah Zainudin atas dakwaan merosakkan imej parti
- Datuk Harrison Hassan mendakwa Hamzah mencemarkan kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin
- Hamzah didakwa menjadi dalang dalam tindakan memperlekehkan kepimpinan parti
- Tindakan Hamzah disifatkan sebagai pengkhianatan terhadap prinsip perjuangan Bersatu
- Harrison menuntut tindakan disiplin tegas jika dakwaan terhadap Hamzah terbukti
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

