'Sukar terima pemergiannya' - Guru SAN sebak kenang Zara Qairina

Allahyarham Zara Qairina.
Allahyarham Zara Qairina.
A
A
A

KOTA KINABALU - Dua guru Sekolah Agama Negeri (SAN) yang pernah mengajar Allahyarham Zara Qairina Mahathir di Sipitang, sebak apabila diminta berkongsi perasaan semasa memberi keterangan dalam prosiding inkues kematian pelajar itu di Mahkamah Koroner, di sini.

Kedua-duanya tidak dapat menahan air mata ketika mengimbas kembali detik sebaik mengetahui murid kesayangan mereka itu meninggal dunia selepas kejadian yang menimpanya, pada 16 Julai tahun lalu.

Nur Ain Jabah, 38, yang merupakan saksi ke-63 dalam inkues tersebut memaklumkan, beliau mengenali murid berkenaan sejak 2023 dan menyifatkannya sebagai seorang yang ceria, sangat menghormati guru serta tidak mempunyai sebarang masalah disiplin di sekolah namun tidak menyangka kejadian tersebut menimpa Zara Qairina.

"Satu perasaan yang tidak boleh digambarkan sebab kami anggap semua murid seperti anak kami sendiri, jadi hubungan kami pun sangat rapat.

"Jadi bila kami dimaklumkan arwah meninggal, pada mulanya kami tidak dapat menerima sebab 17 Julai itu kami bercadang melawatnya, tetapi kami dimaklumkan dia telah meninggal oleh ibu saudaranya.

"Kami terkilan, tidak sangka anak yang kami didik, yang sihat, manja akan berakhir begini. Kami mengharapkan benda lain, agar anak-anak yang kami didik ini, membesar dengan sihat lepas itu berjaya di dunia dan akhirat. Tetapi bila pengakhirannya begini, kami rasa sedih dan perasaan itu boleh dikatakan sampai ke hari ini,” katanya ketika menjawab pertanyaan peguam, Shahlan Jufri, pada Selasa.

Sementara itu, seorang lagi guru yang juga ibu saudara kepada Zara Qairina menyifatkan murid ceria yang dikenalinya sejak bayi itu tidak pernah mengadu mempunyai sebarang masalah sepanjang tempoh beliau mengajarnya.

Malah, Nur Hidayah Mohamad, 39, yang juga saksi ke-64, mengakui masih tertanya-tanya bagaimana kejadian tersebut boleh berlaku dan menimpa anak saudaranya itu.

"Saya hanya bersoal jawab dengan diri saya sendiri, dengan guru saya, kenapa perkara tersebut terjadi dan bagaimana. Sebab apabila kami kenal dia, agak sukar kami mengambarkan perkara tersebut akan terjadi. Jadi sepanjang hari kami masih tertanya antara satu sama lain, kenapa, mengapa dan bagaimana.

Artikel Berkaitan:

"Pertama memang terkejut, tidak percaya dan sangat sedih," katanya sebak.

Dalam pada itu, beliau yang juga guru besar di SAN berkenaan menyifatkan hubungan antara Zara Qairina dan ibunya berada dalam keadaan baik.

"Saya boleh katakan mereka seperti belangkas, ke mana-mana berdua, bersama," katanya.

Ditanya mengenai kehadiran ibu Zara Qairina sepanjang murid itu bersekolah di SAN, saksi memaklumkan segala urusan persekolahan sememangnya diuruskan oleh ibunya sendiri.

"Sejak dari Zara mendaftar, memang beliau uruskan pendaftaran tersebut dan apa-apa program ibu bapa perlu hadir, beliau sentiasa hadir kecuali ada kekangan tugas di sekolah beliau sendiri," jelasnya.

Sementara itu, ketika ditanya peguam, Joan Goh mengenai bapa Zara Qairina, saksi menyatakan beliau tidak mengetahui bagaimana hubungan murid tersebut dengan bapanya dan tidak pernah berjumpa lelaki berkenaan.

Terdahulu, Shahlan bersama rakan sepasukannya, Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James, mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat sebagai pihak berkepentingan dalam inkues tersebut.

Joan pula bersama rakan sepasukannya, Datuk Ram Singh dan Prem Elmer Ganasan, mewakili Pelajar A yang didakwa dalam kes berkaitan Zara Qairina serta sebagai pihak berkepentingan dalam inkues berkenaan.

Untuk rekod, Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai tahun lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) di sini.

Ringkasan AI

  • Dua guru Sekolah Agama Negeri Sipitang sebak menceritakan kematian Zara Qairina Mahathir
  • Guru-guru menganggap murid seperti anak sendiri dan terkejut mendengar berita kematian Zara
  • Zara Qairina dikenali sebagai murid yang ceria dan menghormati guru tanpa masalah disiplin
  • Hubungan antara Zara Qairina dan ibunya sangat rapat, ibu mengurus segala urusan sekolah
  • Zara Qairina meninggal dunia selepas ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolah agama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!