Inkues Zara Qairina: Ibu Pelajar A sebak, dakwa anak masih digelar ‘pembunuh’ di sekolah baharu

Ibu Pelajar A mendakwa anaknya masih menerima tekanan dan digelar ‘pembunuh’ di sekolah baharu ketika memberi keterangan dalam inkues kematian Zara Qairina di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu. - Gambar hiasan
Ibu Pelajar A mendakwa anaknya masih menerima tekanan dan digelar ‘pembunuh’ di sekolah baharu ketika memberi keterangan dalam inkues kematian Zara Qairina di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu. - Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU – Ibu Pelajar A mendakwa anaknya masih menerima tekanan dan tohmahan walaupun telah berpindah ke sekolah baharu susulan kejadian yang menimpa Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Ibu pelajar berkenaan yang merupakan saksi ke-62 dalam inkues kematian Zara Qairina berkata, terdapat pelajar di sekolah baharu yang masih menggelar anaknya sebagai ‘pembunuh’.

“Pertama, ketika di dalam kelas, anak saya baru mendaftar masuk selama beberapa hari. Seorang pelajar memandang ke belakang sambil membuat mimik muka dan menggelarnya sebagai pembunuh, itu kejadian pertama.

“Kali kedua, sewaktu dia naik ke pentas untuk menerima hadiah kerana mendapat tempat pertama. Ketika itu, terdapat beberapa pelajar di bawah pentas yang sebaya dengannya seperti menyebut ‘pembunuh’. Anak saya tidak mendengarnya tetapi orang sekeliling dengar dan rakan-rakannya memaklumkan kepadanya, seperti sorakan ‘boo’,” jelasnya ketika memberi keterangan di Mahkamah Koroner di sini pada Isnin.

Sebelum itu, saksi menjawab soalan yang dikemukakan oleh peguam, Joan Goh, yang mewakili Pelajar A dalam inkues berkenaan.

Saksi yang telah menyediakan kenyataan bertulis turut diminta membacakan kenyataannya di mahkamah.

Ketika membaca kenyataan bertulis tersebut, saksi kelihatan sebak sebaik menyebut bahawa anaknya digelar ‘pembunuh’ sepanjang tempoh selepas kejadian kematian Zara Qairina pada Julai tahun lalu.

Beliau beberapa kali terhenti membaca dan suaranya kedengaran teresak-esak sebelum meneruskan bacaan keterangan tersebut.

Dalam keterangannya, saksi memaklumkan bahawa keluarganya turut menerima tekanan hebat daripada warga net susulan kejadian yang menimpa Zara Qairina.

Artikel Berkaitan:

Malah, orang ramai didakwa menjejaki identiti anaknya sehingga pergerakan mereka ketika pulang ke rumah turut diketahui.

Sebelum mengakhiri bacaan keterangannya, saksi sekali lagi tidak dapat menahan sebak dan menangis apabila anaknya terus dilemparkan dengan pelbagai tohmahan.

Terdahulu, Joan Goh bersama rakan sepasukannya, Datuk Ram Singh dan Prem Elmer Ganasan, hadir sebagai pihak berkepentingan dalam inkues tersebut.

Ringkasan AI

  • Ibu Pelajar A mendakwa anaknya masih menerima tekanan dan tohmahan di sekolah baru
  • Pelajar di sekolah baharu terus menggelar anaknya sebagai 'pembunuh'
  • Kejadian penghinaan berulang di kelas dan semasa penerimaan hadiah
  • Saksi memberikan keterangan mengenai tekanan yang dialami oleh keluarganya dalam inkues kematian Zara Qairina
  • Identiti anak dan pergerakan keluarga diketahui umum, menambahkan tekanan kepada mereka

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!