Saksi dakwa diganggu ibu Zara Qairina, dimarahi dan diminta nafi kenyataan

KOTA KINABALU – Saksi ke-62 mendakwa pernah menerima gangguan daripada ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir melalui aplikasi WhatsApp, yang memarahinya kerana membenarkan anaknya bercakap benar kepada pihak polis.
Saksi yang juga merupakan ibu kepada pelajar A mendakwa bahawa ibu Zara Qairina iaitu Noraidah Lamat, meminta mereka membuat penafian terhadap kenyataan anaknya dengan menghubungi pegawai polis.
“Antara tuduhan ibu arwah Zara dalam WhatsApp yang dihantar ialah kenyataan pelajar A diputar belit, polis berkomplot dengan pengetua, perlu membuat penafian kepada DSP Roziah (polis) dan tulisan diari bukan tulisan Zara.
“Selain itu, beliau tidak mempercayai tulisan makian terhadap dirinya ditulis oleh arwah Zara, mendakwa forensik telah mengesahkan ia bukan tulisan Zara, menuduh pihak sekolah cuba membuat bukti palsu, menuduh pelajar A menurut arahan sekolah serta melarang pelajar A hadir ke kubur arwah Zara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membaca keterangan saksi yang disediakan di Mahkamah Koroner di sini pada Isnin.
Menurutnya lagi, gangguan tersebut telah dimaklumkan kepada pegawai polis dan warden asrama sekolah berkenaan.
Sebelum itu, pasukan peguam diketuai Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan mewakili pelajar A dalam kes di Mahkamah Kanak-Kanak, dan mereka hadir sebagai pihak berkepentingan dalam prosiding inkues tersebut.
Zara Qairina, 13, ditemukan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama di sebuah sekolah agama di Papar dan disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) di sini.
Ringkasan AI
- Saksi ke-62 mendakwa menerima gangguan dari ibu Zara Qairina melalui WhatsApp
- Ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat, didakwa meminta saksi dan anaknya membuat penafian terhadap kenyataan kepada polis
- Noraidah tidak percaya tulisan makian terhadap dirinya adalah tulisan Zara dan menuduh forensik serta sekolah membuat bukti palsu
- Gangguan tersebut telah dimaklumkan kepada pegawai polis dan warden asrama
- Zara Qairina, 13 tahun, ditemukan tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
