Inkues Zara Qairina: Guru SAN dedah murid dakwa 'barcode' trend di TikTok

Seorang guru di sebuah Sekolah Agama Negeri (SAN) mendedahkan kepada Mahkamah Koroner, bahawa murid-muridnya mendakwa perbuatan 'barcode' atau menoreh lengan sebagai trend di TikTok. Gambar kecil: Allahyarham Zara Qairina.
Seorang guru di sebuah Sekolah Agama Negeri (SAN) mendedahkan kepada Mahkamah Koroner, bahawa murid-muridnya mendakwa perbuatan 'barcode' atau menoreh lengan sebagai trend di TikTok. Gambar kecil: Allahyarham Zara Qairina.
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang guru di sebuah Sekolah Agama Negeri (SAN) mendedahkan kepada Mahkamah Koroner, di sini, bahawa murid-muridnya mendakwa perbuatan 'barcode' atau menoreh lengan sebagai trend di TikTok.

Bagaimanapun, saksi ke-63, Nur Ain Jabah, 38, memaklumkan bahawa kejadian tersebut hanya berlaku sekali sahaja ketika Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir berada di Tahun Lima di sekolah berkenaan.

Menurutnya, beliau mengetahui mengenai insiden itu selepas menerima aduan daripada pelajar lain, sebelum pergi ke kelas terlibat untuk melihat sendiri keadaan tersebut.

"Saya tahu mengenai perkara ini sebab Zara dan sahabat-sahabatnya sebelum ini pernah buat di sekolah agama. Apabila mereka buat perkara itu di sekolah, ada pelajar lain mengadu dengan saya dengan guru lain.

"Jadi saya sendiri ke kelas mereka untuk lihat dan memang betul mereka ada buat. Saya marah dan tanya kenapa buat perkara ini. Mereka kata, ini trend di TikTok.

"Saya marah dan minta mereka jangan buat lagi sebab tiada faedah. Selepas itu memang tidak pernah lagi berlaku kes seperti itu," jelasnya ketika memberi keterangannya, pada Selasa.

Saksi yang juga guru di sekolah berkenaan berkata demikian ketika ditanya peguam, Shahlan Jufri, mengenai kewujudan perbuatan 'barcode' dalam kalangan murid.

Beliau turut menjelaskan bahawa insiden tersebut melibatkan kira-kira lapan murid di kelas Zara Qairina yang ketika itu berada di Tahun Lima.

Sementara itu, ketika ditanya Hakim Koroner, Amir Shah Amir Hassan mengenai kekerapan kejadian berkenaan, saksi memaklumkan bahawa ia hanya berlaku sekali sahaja.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi guru, Nur Hidayah Mohamad, 39, yang juga saksi ke-64 dalam inkues tersebut, memaklumkan bahawa beliau tidak mengetahui mengenai insiden 'barcode' itu.

Ditanya mengenai diari Zara Qairina, beliau mendedahkan pernah melihat diari tersebut, namun tidak pernah membacanya.

"Diari itu memang dia bawa ke sekolah tetapi semasa belajar, buku-buku lain disimpan masuk dalam beg," katanya ketika menjawab soalan Hakim Koroner.

Amir Shah sebelum itu menjelaskan bahawa pertanyaan mengenai diari tersebut dikemukakan memandangkan Nur Hidayah juga merupakan ibu saudara Zara Qairina dan berkemungkinan pernah membaca kandungan diari berkenaan.

Sebelum itu, Shahlan bersama rakan sepasukannya, Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James, mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat sebagai pihak berkepentingan dalam inkues tersebut.

Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sebuah sekolah agama di Papar pada 16 Julai tahun lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) di sini.

Ringkasan AI

  • Guru Sekolah Agama Negeri mendedahkan murid-murid meniru trend TikTok menoreh lengan
  • Trend tersebut hanya berlaku sekali ketika Zara Qairina di Tahun Lima
  • Insiden itu diketahui guru selepas menerima aduan dari pelajar lain
  • Perbuatan 'barcode' melibatkan kira-kira lapan murid
  • Kejadian tersebut tidak berulang setelah teguran dibuat

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!