Anis Rizana mendahului senarai 218 penerima pingat Perak

IPOH - Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Anis Rizana Jizaini Mohd Zainuddin mendahului senarai 218 penerima darjah kebesaran dan pingat Negeri Perak sempena sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ke-70 yang disambut pada Jumaat.
Anis Rizana, 57, yang merupakan wanita pertama pernah dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam) menerima Darjah Dato' Seri Paduka Mahkota Perak (SPMP) membawa gelaran Datuk Seri.
Turut menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran ialah Panglima Angkatan Tentera, Leftenan Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman yang dikurniakan Darjah Dato' Seri Panglima Taming Sari (SPTS), membawa gelaran Datuk Seri Panglima.
Akauntan Negara Malaysia, Nazran Omar yang dilantik memegang jawatan pada 17 April lalu dikurniakan Darjah Dato' Paduka Cura Si Manja Kini (DPCM) membawa gelaran Datuk.
Sultan Nazrin turut memperkenankan pengurniaan Darjah Dato' Paduka Mahkota Perak (DPMP) kepada 14 penerima yang turut membawa gelaran Datuk.
Antara penerima ialah Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng; Datuk Bandar Ipoh, Zamakhshairi Hanipah; Pengarah Pendidikan Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar; Hakim Mahkamah Rayuan Syariah, Noor Hadina Ahmad Zabidi dan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), DR Arul Rajoo.
Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Mohammad Azlin Sadari dan Komander Briged Utara Pasukan Gerakan Am, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh antara lapan individu menerima Darjah Dato' Pahlawan Taming Sari (DPTS) yang membawa gelaran Datuk Pahlawan.
Tahun ini, Darjah Ahli Paduka Cura Si Manja Kini (PCM) dikurniakan kepada 10 penerima, Darjah Ahli Paduka Mahkota Perak (PMP) kepada 28 penerima dan Darjah Ahli Cura Si Manja Kini (ACM) kepada 18 penerima.
Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP) pula melibatkan 47 penerima, Pingat Pekerti Terpilih (PPT) seramai 49 penerima, Pingat Jasa Kebaktian (PJK) kepada 31 penerima dan Pingat Lama Perkhidmatan (PLP) kepada 10 penerima.
Orang Kaya Bendahara Seri Maharaja Jeneral (B) Tan Sri Dr Mohd Zahidi Zainuddin berkata, darjah kebesaran, bintang dan pingat negeri pada tahun ini dikurniakan kepada individu yang benar-benar layak serta berjasa kepada negeri.
Beliau berkata, penerima turut terdiri daripada mereka yang telah mengharumkan nama Perak selain memenuhi kriteria yang ditetapkan.
"Secara keseluruhannya, seramai 218 individu telah mendapat perkenan Sultan Perak untuk menerima darjah kebesaran dan pingat-pingat negeri pada tahun ini," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Khamis.
Hadir sama, Setiausaha Dewan Negara Perak, Datuk Seri Ayop Hashim dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
Mohd Zahidi berkata, istiadat pengurniaan darjah kebesaran dan pingat negeri Perak akan berlangsung dalam dua sesi iaitu pada 15 dan 21 November ini di Balairong Seri, Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.
Katanya, sesi pertama melibatkan pengurniaan darjah kebesaran yang membawa gelaran, manakala sesi kedua membabitkan pengurniaan darjah kebesaran dan pingat-pingat lain.
Senarai lengkap penerima boleh disemak menerusi laman sesawang rasmi pingat.perak.gov.my bermula jam 12 tengah malam pada Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

