Wakil rakyat dikecam selepas keluar kenyataan 'kita rompak wang negara, biar negara ini jadi miskin'

Wahyudin Moridu Foto Agensi
Wahyudin Moridu Foto Agensi
A
A
A

JAKARTA – Ahli Dewan Perwakilan Rakyat Daerah (DPRD) Provinsi Gorontalo, Wahyudin Moridu, dikecam hebat selepas tular sebuah video dirinya mengeluarkan kenyataan mahu ‘merompak wang negara’ ketika bercuti ke Makassar, Sulawesi Selatan.

Rakaman berdurasi lebih seminit itu menunjukkan beliau bersama seorang wanita sambil ketawa menyatakan hasrat untuk menggunakan dana perjalanan rasmi negara bagi tujuan peribadi.

“Hari ini kita menuju Makassar, guna wang negara. Kita rompak saja wang negara ini, kita habiskan saja. Biar negara ini semakin miskin,” katanya dalam video berkenaan.

Tindakannya menimbulkan kemarahan netizen yang menyifatkan kenyataan itu tidak beretika dan memalukan seorang wakil rakyat.

Dalam rakaman sama, ahli dewan daripada parti PDI-P itu turut memperkenalkan dirinya secara jelas dan dipercayai berada di bawah pengaruh minuman keras.

Kecaman semakin memuncak apabila identiti wanita yang bersamanya dalam video itu tidak dapat dipastikan dirakam turut bergelak ketawa.

Selepas menerima tekanan daripada pelbagai pihak, Wahyudin akhirnya tampil memohon maaf secara terbuka menerusi akaun media sosialnya pada Jumaat.

“Apa jua yang saya lakukan dalam video itu adalah salah dan tidak mencerminkan etika seorang penjawat awam. Dengan rendah hati saya memohon beribu-ribu maaf kepada seluruh rakyat Gorontalo,” katanya.

Wahyudin mendakwa wanita dalam rakaman tersebut adalah isterinya dan menegaskan beliau tidak berniat menghina atau menyinggung perasaan rakyat.

Artikel Berkaitan:

“Semuanya kesalahan saya sendiri. Saya bersedia menanggung sebarang akibat daripada perkara itu,” ujarnya.

Sementara itu, Badan Kehormatan DPRD Provinsi Gorontalo memaklumkan akan memanggil Wahyudin minggu depan bagi mendapatkan penjelasan lanjut.-Agensi

Ringkasan AI

  • Ahli DPRD Provinsi Gorontalo, Wahyudin Moridu dikritik kerana video mengaku mahu "merompak wang negara" semasa bercuti
  • Video tersebut menunjukkan dia berniat menggunakan dana perjalanan rasmi untuk tujuan peribadi dan berharap negara menjadi miskin
  • Netizen marah dengan kenyataan tidak beretika dan memalukan dari seorang wakil rakyat
  • Wahyudin, di bawah pengaruh alkohol, meminta maaf di media sosial dan menegaskan tidak bermaksud menghina rakyat Gorontalo
  • Badan Kehormatan DPRD Provinsi Gorontalo akan memanggil Wahyudin untuk penjelasan lanjut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!