'Mampu beli Rolls-Royce tapi tak mampu bayar cukai jalan'

KOTA BHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendedahkan pemilik kenderaan mewah menjadikan alasan menghadapi masalah kewangan punca mereka tidak membayar cukai jalan selain terlupa.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, ia berdasarkan siasatan yang dilakukan oleh pihak mereka sepanjang 'Ops Luxury' dijalankan bermula 1 Julai 2025 hingga Isnin lalu.
Menurut beliau, hasil daripada operasi terbabit JPJ telah menyita 1,050 buah kenderaan mewah seperti Mustang, Subaru, Mercedes, BYD, Rolls-Royce dan banyak lagi di seluruh negara dengan nilaian rampasan melebihi RM200 juta.
Ujarnya, tiga negeri yang mencatatkan sitaan tertinggi ialah Kuala Lumpur sebanyak 150 buah, Pulau Pinang (100) diikuti Selangor, 100 buah.
"Terlupa adalah alasan yang paling popular kami terima dan kedua ialah mereka (pemilik kenderaan mewah) mendakwa menghadapi masalah kewangan.
"Walaupun mereka mampu membeli kereta mewah berharga RM3 hingga RM5 juta tapi untuk membayar cukai jalan pada harga RM20,000 hingga RM50,000 itu mereka menghadapi masalah kewangan," katanya ketika sidang akhbar di Pejabat JPJ Negeri Kelantan di sini pada Rabu.
Menurut Muhammad Kifli, pemilik kenderaan mewah ini terdiri daripada pelbagai kategori namun yang paling ramai ialah ahli perniagaan.
Ujarnya, daripada kajian yang dibuat, nilai cukai jalan yang tidak dibayar oleh sebuah kenderaan mewah yang paling tinggi ialah melibatkan kereta jenis Rolls-Royce berjumlah RM55,000 setahun.
Kata beliau, kebanyakan mereka gagal membayar cukai jalan disebabkan insurans kenderaan mewah mahal dimana mencecah sekitar RM100,000.
"Berdasarkan pemantauan yang dilakukan, perkara ini berlaku sebab sebelum ini kita tidak melakukan tindakan drastik dimana hanya keluarkan saman sahaja.
"Saman melibatkan cukai jalan dan insurans, hukumannya hanya sekitar RM300 hingga RM500 tetapi apabila kita telah mengambil tindakan drastik menyita dan mengarahkan mereka untuk membayar cukai jalan berkenaan barulah benda ini memberi kesan.
"Lebih kurang 90 peratus pemilik kereta mewah akan membayarnnya namun ada yang tidak bayar disebabkan masalah kewangan tetapi ia hanya segelintir," katanya.
Menurut beliau, sebagai contoh sebuah Lamborghini disita di Kuala Lumpur namun hampir tiga bulan sehingga sekarang pemilik tidak membayar cukai jalan jadi kenderaan masih ditahan.
Dalam perkembangan sama, Muhammad Kifli memberitahu pada Jumaat lalu sebuah kenderaan mewah jenis Subaru yang dipandu oleh seorang warga Itali bersama teman wanitanya telah ditahan.
"Mereka dalam perjalanan ke Cherating, Pahang dari Kuala Lumpur. Apabila kita semak cukai jalan kenderaan terbabit mendapati cukai jalannya telah tamat tempoh lebih dua bulan.
"Perkara sebegini tidak seharusnya berlaku. Ini kerana jika sesuatu berlaku melibatkan warga asing yang memandu kenderaan mewah sudah tamat cukai jalan, ia akan menjejaskan nama negara.
"Nasihat kami kepada pemilik kereta mewah supaya pastikan kenderaan mereka dibayar cukai jalan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

