JPJ isytihar 'perang' kenderaan lebih muatan

Anthony Loke. Foto Bernama
Anthony Loke. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA – Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) melancarkan operasi penguatkuasaan bersepadu secara besar-besaran di seluruh negara bagi mengekang kesalahan membawa lebih muatan melibatkan kenderaan perdagangan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, operasi yang dinamakan “Perang Lebih Muatan Kenderaan Perdagangan” itu dilaksanakan serta- merta hingga 31 Disember depan.

“Operasi ini meliputi lima zon utama iaitu Utara, Tengah, Selatan, Timur dan Borneo. Setiap negeri akan menggerakkan empat pasukan penguat kuasa, menjadikan keseluruhannya 12 pasukan aktif di setiap zon,” katanya pada sidang akhbar di sini, pada Selasa.

Beliau berkata, operasi bersepadu itu akan dijalankan selama tujuh hari berturut-turut bagi setiap siri pelaksanaan dengan fokus utama diberikan kepada kawasan panas yang sering melibatkan aktiviti kenderaan perdagangan membawa muatan berlebihan.

“Antara muatan berisiko tinggi ialah batu, pasir, tanah, silika, arang batu, besi, sawit dan kayu balak. Kebanyakannya terlibat dalam sektor kuari, pelabuhan dan perindustrian berat,” jelasnya.

Anthony menegaskan, tiada sebarang kompromi akan diberikan kepada mana-mana pihak yang melanggar had muatan ditetapkan di bawah syarat lesen.

“JPJ tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pemandu, pemilik atau syarikat pengangkutan yang cuai serta mengabaikan keselamatan awam hingga mengakibatkan kerosakan jalan raya atau kemalangan,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan operasi itu juga merupakan sebahagian daripada strategi penguatkuasaan holistik MOT dan JPJ untuk memperkukuh budaya pematuhan undang-undang serta meningkatkan keselamatan jalan raya.

“Penguatkuasaan ini bukan sahaja untuk menghukum, tetapi bagi mendidik pengusaha supaya lebih bertanggungjawab dan tidak sewenang-wenangnya meletakkan nyawa pengguna lain dalam risiko,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Anthony menambah, pemerkasaan strategi penguatkuasaan turut melibatkan penggunaan teknologi baharu yang membolehkan pemantauan dijalankan dengan lebih berkesan serta telus.

“MOT dan JPJ kekal komited melaksanakan penguatkuasaan secara tegas, berintegriti dan berkesan, sejajar dengan mandat di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987,” ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, Anthony menegaskan syarikat kenderaan perdagangan yang dikesan berulang kali melanggar undang-undang jalan raya bakal berdepan tindakan lebih tegas iaitu permit kenderaan atau lesen pengendali mereka boleh digantung atau dibatalkan.

Ia susulan JPJ dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) diarahkan untuk mewujudkan kerangka baharu dengan serta-merta.

“Saya telah mengarahkan JPJ dan APAD untuk mewujudkan satu kerangka dengan serta-merta secara pentadbiran di mana pesalah berulang kali bukan sahaja akan dikenakan saman oleh JPJ tetapi turut digantung atau dibatalkan permit kenderaan atau lesen pengendali syarikat oleh APAD,” katanya.

Menurut beliau, langkah tegas itu bertujuan membanteras sikap segelintir pengendali yang tidak bertanggungjawab serta memastikan syarikat benar-benar mematuhi undang-undang pengangkutan jalan.

“Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mengambil ringan isu keselamatan awam. Syarikat mesti bertanggungjawab sepenuhnya terhadap setiap kenderaan yang beroperasi di jalan raya,” katanya.

Anthony menjelaskan, tindakan tersebut diambil susulan dapatan Operasi Khas Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) yang dijalankan antara 23 Jun hingga 31 Julai lalu terhadap 500 syarikat pengendali berisiko tinggi.

“Hasil audit mendapati 54.43 peratus syarikat gagal mematuhi peraturan, menunjukkan tahap ketidakpatuhan yang serius dan sistemik. Ini menuntut keperluan mendesak untuk memperkukuh mekanisme penguatkuasaan secara lebih menyeluruh,” jelasnya.

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!