SPRM bongkar rasuah penguat kuasa, rangkaian pusat urut

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar kes rasuah penguat kuasa melibatkan rangkaian pusat urut terkemuka yang dipercayai telah beroperasi sejak tahun 2023.
Pembongkaran kes itu dijalankan Bahagian Operasi Khas SPRM menerusi operasi bersepadu bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap rangkaian pusat urut terbabit yang mempunyai 32 cawangan di seluruh negara.
Berikutan itu, pada Selasa, lima individu terdiri daripada pengarah syarikat serta pengurusan kanan beberapa entiti perniagaan berusia lingkungan 30 hingga 50-an telah ditahan di sekitar Lembah Klang dan Putrajaya.

Mahkamah telah membenarkan empat suspek direman selama empat hari sehingga 31 Januari, manakala seorang lagi suspek direman selama tiga hari sehingga 30 Januari bagi membantu siasatan lanjut.
Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Puan Ezrene Zakariah di Mahkamah Majistret Putrajaya pada Rabu.
Memetik media sosial TikTok rasmi SPRM, siasatan awal mendapati syarikat terbabit disyaki mengamalkan sistem perakaunan dua lapis, di mana sebahagian besar jualan tunai tidak dilaporkan sekali gus menyebabkan anggaran kebocoran cukai sekitar RM7.56 juta setahun.
"Selain itu, siasatan turut mendapati berlaku pembayaran rasuah kepada pegawai penguat kuasa dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi melancarkan operasi syarikat serta sebagai wang perlindungan.
"Beberapa individu telah dikenal pasti dan tindakan susulan sedang diambil," katanya pada Rabu.

Tambahnya, sebagai sebahagian daripada tindakan siasatan, SPRM telah membekukan sebanyak 121 akaun bank, melibatkan akaun persendirian dan akaun syarikat-syarikat berkaitan dengan jumlah anggaran keseluruhan RM11.5 juta.
"Setakat ini, 12 rakaman percakapan saksi telah dirakam bagi membantu siasatan lanjut.
"Siasatan turut melibatkan pembekuan aset-aset di Lembah Klang dan Johor yang disyaki diperoleh hasil daripada aktiviti pengubahan wang haram, meliputi lima buah kenderaan mewah dianggarkan bernilai RM1.5 juta, lima unit premis komersial bernilai kira-kira RM7.3 juta, dua unit hartanah perindustrian bernilai lebih kurang RM2.3 juta, serta tujuh unit kediaman dengan nilai anggaran sekitar RM7.7 juta," ujarnya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM, Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin mengesahkan operasi berkenaan sedang dijalankan.
"Siasatan memberi fokus kepada kesalahan di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009 selain turut meneliti elemen kesalahan jenayah lain termasuk aktiviti pengubahan wang haram," ujarnya.
Ringkasan AI
- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar kes rasuah penguat kuasa melibatkan rangkaian pusat urut
- Operasi bersepadu dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) menargetkan 32 cawangan pusat urut se-Malaysia
- Lima individu termasuk pengarah syarikat ditahan untuk siasatan lanjut
- Siasatan awal mendapati syarikat terlibat dalam pengamalan sistem perakaunan dua lapis, menyebabkan kebocoran cukai sekitar RM7.56 juta setahun
- SPRM membekukan 121 akaun bank dan merakam 12 percakapan saksi sebagai sebahagian daripada siasatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
