Caj satu kepala hingga RM150, 'gaji' pemandu van persendirian Thailand cecah RM30,000 sebulan - JPJ

KOTA BHARU - Seorang pemandu van persendirian Thailand mampu memperolehi pendapatan mencecah RM30,000 sebulan hasil daripada membawa pekerja restoran tomyam keluar masuk dari Thailand ke Malaysia.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, sebuah van boleh membawa lapan hingga 10 penumpang dalam satu masa yang mana bayaran yang dikenakan sekitar RM70 hingga RM150 seorang.
"Setiap van melakukan pekerjaan terbabit sekitar tiga hingga lima perjalanan setiap minggu dengan membawa penumpang dari sempadan Malaysia-Thailand ke Lembah Klang sehingga Johor.
"Mereka sudah mempunyai penumpang tetap. Kita menganggarkan 1,000 buah van persendirian Thailand aktif berbuat demikian menggunakan tiga pintu masuk Malaysia-Thailand di Kedah, Kelantan dan Perak," katanya semasa sidang akhbar di Pejabat JPJ Negeri Kelantan di sini pada Rabu.

Menurut beliau, pemandu van Thailand tidak boleh membawa penumpang di negara ini manala ICP hanya dikeluarkan untuk kenderaan persendirian sahaja.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan alasan ‘nak masuk sekejap saja’ menjadi helah biasa pemandu van persendirian Thailand atau lebih dikenali sebagai roktu untuk mengelak keperluan Permit Edaran Antarabangsa (ICP) ketika memasuki negara ini di Kelantan.
Menurut Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah, hasil operasi mendapati majoriti kenderaan persendirian asing itu dikesan menyalahgunakan kelonggaran radius dua kilometer (km) dari pintu sempadan Malaysia-Thailand untuk membawa penumpang bagi tujuan pelancongan.
“Alasan paling kerap diberikan ialah masuk sekejap, namun pemeriksaan mendapati mereka sebenarnya bergerak melebihi jarak yang dibenarkan.
“Selain itu, mereka juga melakukan kesalahan membawa pelancong dalam kenderaan yang didaftarkan sebagai kenderaan persendirian,” katanya.
Ringkasan AI
- Pemandu van persendirian Thailand boleh memperolehi pendapatan sehingga RM30,000 sebulan dengan membawa pekerja tomyam ke Malaysia
- Sebuah van boleh membawa lapan hingga 10 penumpang dengan bayaran RM70 hingga RM150 seorang
- Van tersebut melakukan tiga hingga lima perjalanan seminggu dari sempadan Malaysia-Thailand ke Lembah Klang dan Johor
- Sekitar 1,000 buah van persendirian Thailand aktif membawa penumpang melalui tiga pintu masuk di Kedah, Kelantan dan Perak
- Pemandu van Thailand menggunakan helah 'nak masuk sekejap saja' untuk mengelak keperluan Permit Edaran Antarabangsa ketika memasuki Malaysia di Kelantan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

