Madrasah Baqiyathus Salihath nafi ceroboh rizab TNB

AMPANG – Madrasah Baqiyathus Salihath, Kampung Tasek Permai di sini menafikan dakwaan kononnya bangunan institusi itu didirikan secara haram di atas rizab talian penghantaran milik Tenaga Nasional Berhad (TNB).
Pengerusinya, Rahmthullah Kadar Basha berkata, pembinaan madrasah tersebut dilakukan dengan pengetahuan dan kelulusan pihak berkuasa sejak lebih 30 tahun lalu.
Menurutnya, madrasah itu bermula sebagai surau dan madrasah pondok yang telah beroperasi sejak 1987, sebelum berkembang menjadi bangunan dua tingkat pada awal 1990-an berikutan pertambahan jemaah dan pelajar.
"Sejak awal penubuhan, pihak madrasah sentiasa membuat permohonan kepada kerajaan negeri berhubung status tanah berkenaan, dan dimaklumkan bahawa penggunaannya adalah dibenarkan ketika itu.
"Kami bukan bina madrasah ini secara haram kerana sejak awal lagi permohonan tanah telah dibuat dan kami dimaklumkan boleh menggunakannya tanpa masalah," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Rahmthullah menjelaskan, madrasah tersebut juga didaftarkan setiap tahun di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Beliau memberitahu, tanah berkenaan diserahkan kerajaan negeri kepada TNB pada 2003 bagi tujuan projek utiliti dan hasil perbincangan melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), masjid serta TNB, satu perjanjian aku janji telah dikeluarkan yang membenarkan madrasah berkenaan terus beroperasi dengan syarat tertentu.
"Pihak TNB membenarkan kami kekal di sini dengan syarat tiada penambahan binaan kekal dibuat. Kami mematuhi syarat tersebut sepenuhnya dan tidak pernah melanggar arahan atau menimbulkan sebarang pertikaian," jelas beliau.
Tambahnya lagi, pihak madrasah baru-baru ini telah membelanjakan lebih RM200,000 bagi kerja-kerja pengubahsuaian termasuk penukaran bumbung zink kepada bahan gentian selaras dengan kehendak keselamatan TNB.
Mengulas dakwaan tular yang mengaitkan madrasah itu dengan isu pencerobohan tanah, Rahmthullah menegaskan bahawa tuduhan tersebut adalah tidak benar dan bermotif jahat.
"Kami telah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang malam tadi atas faktor keselamatan dan bagi menangkis dakwaan fitnah ini, bukan untuk membesarkan isu," tegasnya.
Menurutnya, madrasah itu kini menempatkan kira-kira 50 hingga 60 pelajar tempatan dan warga asing, termasuk dari Bangladesh dan Indonesia yang mengikuti pengajian fardu ain pada sebelah petang hingga malam.
"Ini adalah pusat ilmu untuk masyarakat setempat dan juga antarabangsa, dengan waktu kelas bermula selepas jam 6 petang hingga waktu Isyak," tambah beliau.
Terdahulu, tular di media sosial berhubung dakwaan yang mempertikaikan status kedudukan Madrasah Baqiyathus Salihath di Kampung Tasek Permai, Ampang.
Dakwaan tersebut timbul susulan satu hantaran yang mempersoalkan kewujudan bangunan madrasah berkenaan di atas tanah yang didakwa tidak mempunyai kelulusan sah.
Ringkasan AI
- Madrasah Baqiyathus Salihath di Kampung Tasek Permai menafikan bangunan tersebut didirikan secara haram di atas tanah TNB
- Pembinaan madrasah berlangsung dengan kelulusan pihak berkuasa sejak lebih 30 tahun lalu
- Madrasah itu bermula sebagai surau dan berkembang menjadi bangunan dua tingkat pada awal 1990-an
- TNB membenarkan madrasah beroperasi di tanah tersebut dengan syarat tiada penambahan binaan kekal
- Madrasah menempatkan kira-kira 50 hingga 60 pelajar termasuk dari Bangladesh dan Indonesia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

