Bangunan terbengkalai, kawasan hutan jadi lokasi penempatan haram PATI di KL

 Bangunan terbengkalai, setinggan dan kawasan hutan dikenal pasti sebagai penempatan PATI di ibu negara.
Bangunan terbengkalai, setinggan dan kawasan hutan dikenal pasti sebagai penempatan PATI di ibu negara.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bangunan terbengkalai, setinggan dan kawasan hutan dikenal pasti sebagai penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI) di ibu negara.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, berdasarkan statistik Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur tahun lalu, sebanyak 131 operasi dilaksanakan ke atas penempatan PATI.

Menurutnya, hasil serbuan membawa kepada tangkapan 2,177 disyaki PATI.

Wan Mohammed Saupee
Wan Mohammed Saupee

"Mereka antaranya terdiri daripada warga Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Pakistan dan India. Ini antara paling ramai dan selebihnya lain-lain negara.

"Apa yang kita (JIM) kesan, penempatan haram PATI di sekitar Kuala Lumpur biasanya wujud dalam bentuk bangunan terbengkalai, bangunan komersial atau setinggan, kawasan hutan dan tapak pembinaan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Jelas beliau, antara ciri-ciri penempatan haram koloni PATI ialah tempat tersorok dari pandangan awam seperti di bawah jambatan, lereng bukit, belakang semak serta tepi jalan raya yang terlindung dengan penghadang bunyi serta sukar dilalui masuk oleh kenderaan ringan.

Namun, katanya, kecekapan pegawai JIM Kuala Lumpur dan risikan serta kerjasama warga tempatan, perkara ini dapat dihidu pihak berkuasa dengan susulan operasi penguatkuasaan tegas tanpa kompromi.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, berdasarkan laporan Sinar Harian yang menyertai operasi JIM ke atas lokasi haram itu, penempatan yang biasa didirikan di kawasan hutan dan tersorok dilengkapi dengan sumber air dan elektrik serta kemudahan lain.

Bagi penempatan di bangunan pula, kebiasaan lokasi itu agak usang selain keadaan premis berbau, kotor serta rosak.

Justeru, tegas Wan Mohammed Saupee, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang imigresen.

"Operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan dan holistik ke atas warga asing, majikan serta mana-mana pihak yang memberi perlindungan kepada PATI.

"Kerjasama semua pihak dalam amat diperlukan bagi memastikan keselamatan, ketenteraman dan kedaulatan negara terus terpelihara," ujarnya.

Sebelum ini, Kementerian Dalam Negeri menegaskan tiada kompromi dengan PATI dan akan terus melaksanakan penguatkuasaan undang-undang secara tegas, konsisten dan berterusan demi memelihara kedaulatan, keselamatan dan ketenteraman negara.

KDN menerusi JIM juga tidak berkompromi terhadap majikan yang menggaji dan melindungi PATI.

 

 

Ringkasan AI

  • Bangunan terbengkalai, setinggan dan kawasan hutan dikenal pasti sebagai penempatan pendatang asing tanpa izin di Kuala Lumpur
  • Sebanyak 131 operasi dilaksanakan ke atas penempatan PATI tahun lalu oleh Jabatan Imigresen Malaysia Kuala Lumpur
  • Hasil serbuan membawa kepada tangkapan 2,177 disyaki PATI dari negara seperti Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Pakistan dan India
  • Ciri-ciri penempatan haram koloni PATI termasuk tempat tersorok dari pandangan awam dan sukar dilalui masuk oleh kenderaan ringan
  • Operasi penguatkuasaan secara berterusan dan holistik akan dilaksanakan ke atas warga asing, majikan serta mana-mana pihak yang memberi perlindungan kepada PATI

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!