179 graduan Infra terima pentauliahan rasmi sijil TVET

BANGI – Seramai 179 graduan berjaya menamatkan pengajian dan menerima pentauliahan daripada Institut Kemajuan Desa (Infra) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Kesemua graduan memperoleh sijil program di bawah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Infra seperti Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Pengajaran TVET Tahap Empat; Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Pengurusan Desa Tahap Tiga; SKM Penyeliaan dan Koordinasi Inap Desa Tahap Tiga; SKM Operasi Inap Desa Tahap Dua; serta Sijil Pemandu Pelancong Berkemahiran Alam Semula Jadi Setempat Tahap Dua.
Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KKDW, Datuk Dr Roslan Mahmood berkata, penganugerahan tersebut adalah bagi mengiktiraf kecekalan dan usaha gigih graduan melengkapkan pengajian sekitar satu hingga dua tahun.
Menurut beliau, ilmu dan kemahiran bukan sekadar bekalan, tetapi merupakan kunci untuk membuka masa depan dan membina tindakan.
“Dunia kini tidak cukup dengan tahu, perlu juga ada mahu, maka carilah ilmu sepanjang hayat.
“Selain itu, kita perlu memanfaatkan kemahiran yang diperoleh untuk pembangunan insan pada masa akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Konvokesyen Infra ke-9 yang berlangsung di Dewan Tun Abdul Razak, Infra, di sini pada Selasa.
Turut hadir, Pengarah Infra, Abd Jalil Ismail bersama barisan kepimpinan pengurusan kanan KKDW dan pusat bertauliah Infra.

Majlis tersebut dimeriahkan dengan kehadiran lebih 600 tetamu termasuk rakan strategik, agensi awam, pihak industri, media serta keluarga graduan.
Tahun ini juga merupakan ulang tahun ke-30 Infra yang telah membuktikan keberkesanan pendekatannya dalam menyampaikan latihan berkualiti kepada masyarakat luar bandar, khususnya pemimpin desa, selaras dengan aspirasi Malaysia Madani serta moto institusi iaitu Membitara Infra, Memaju Desa.
Sementara itu, graduan terbaik TVET Operasi Inap Desa, Do Re Mi Zaini, 60, berkata, beliau bersyukur usaha selama setahun mengikuti pengajian akhirnya membuahkan hasil, ditambah pula sijil yang diterima boleh dijadikan nilai tambah dalam memperkasakan industri inap desa.
Penerima SKM Tahap Dua itu menambah, segala ilmu yang dipelajari menerusi kursus tersebut dimanfaatkan sepenuhnya dalam operasi dan pengurusan rumah inap desa kelolaannya di Santubong, Sarawak.
“Alhamdulillah, kalau nak kata ada kekangan itu tidak, saya masih sertai kelas pengajian seperti biasa.
“Ilmu yang dipelajari, saya terapkan dalam operasi harian, dalam masa sama mendidik pelapis baharu khususnya komuniti kampung supaya pandai mengendalikan operasi inap desa sendiri,” ujarnya.
Bagi penerima SKM Penyeliaan dan Koordinasi Inap Desa Tahap Tiga, Sigar Baru, 75, pula, kediaman yang terletak jauh di pedalaman iaitu Kampung Long Pasia, Sipitang, Sabah bukan halangan untuk beliau menghabiskan kursus pengajian.
Menurut graduan paling berusia itu, memajukan industri inap desa dan komuniti setempat merupakan keutamaan beliau di samping usaha menjadikan Kampung Long Pasia terkenal di mata pelancong.
“Saya sangat gembira kerana berjaya menghabiskan kursus ini dan saya mahu menyampaikan ilmu ini kepada penduduk kampung pula.
“Ini juga peluang untuk kami mempromosikan kampung supaya pengunjung datang bercuti dan kembali lagi ke sini suatu hari nanti,” kata Sigar lagi.
Ringkasan AI
- Seramai 179 graduan Institut Kemajuan Desa (Infra) menerima pentauliahan dalam program Pendidikan dan Vokasional dan Teknikal (TVET)
- Ilmu dan kemahiran yang diperoleh ditekankan sebagai kunci membuka masa depan yang gemilang
- Majlis Konvokesyen Infra ke-9 dirasmikan dengan kehadiran lebih 600 tetamu termasuk rakan strategik dan keluarga graduan
- Tahun ini menandakan ulang tahun ke-30 Infra, membuktikan keberkesanan pendekatannya dalam menyampaikan latihan berkualiti
- Graduan terbaik TVET Operasi 'Home Stay', Do Re Mi Zaini, menggunakan ilmu yang dipelajari untuk meningkatkan operasi rumah inap desanya di Santubong, Sarawak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

