Tangani isu lantai harga p-hailing dengan lebih serius - Bryan Ng

SHAH ALAM – Kebajikan penunggang perkhidmatan penghantaran atau p-hailing khususnya berkaitan struktur bayaran dan isu lantai harga perlu ditangani kerajaan secara menyeluruh bagi memastikan kelangsungan pendapatan serta kesejahteraan golongan terbabit.
Timbalan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Bryan Ng Yih Miin berkata, pihaknya mengambil perhatian serius terhadap kenyataan yang disuarakan Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia (PPRPM) berhubung cabaran dihadapi penunggang p-hailing, yang disifatkan sebagai tulang belakang ekonomi gig negara.
Menurutnya, sebarang ketidakseimbangan dalam struktur bayaran termasuk kadar lantai harga, memberi kesan langsung terhadap pendapatan harian dan kebajikan penunggang.
“Saya sentiasa empati terhadap cabaran yang dihadapi para penunggang dan komitmen saya adalah untuk mencari penyelesaian yang adil serta mampan bagi semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sehubungan itu, beliau memaklumkan akan mengadakan perbincangan bersama pelbagai pihak berkepentingan, termasuk Menteri Sumber Manusia (Kesuma), Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan, pemain industri platform penghantaran, wakil penunggang serta komuniti penghantar.
Bryan berkata, antara langkah praktikal yang boleh dipertimbangkan adalah penggabungan beberapa penghantaran dalam satu perjalanan, penetapan titik pengambilan dan penghantaran yang lebih efisien, selain penggunaan teknologi serta algoritma platform yang lebih telus dan adil.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan kebajikan penunggang terus terpelihara tanpa menjejaskan kelangsungan industri,” ujarnya.
Dalam pada itu, Bryan melihat isu p-hailing dalam konteks yang lebih luas, termasuk pemerkasaan ekonomi rakyat, peningkatan peluang pekerjaan dan pembangunan pekerjaan bernilai tinggi, selari dengan agenda Kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Katanya, kerajaan sedang dan akan terus melaksanakan pelbagai inisiatif bagi merancakkan ekonomi, menarik pelaburan berkualiti serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan yang stabil dan berpendapatan lebih tinggi.
Tambahnya, langkah jangka sederhana dan panjang turut merangkumi peluang kepada penunggang p-hailing untuk menceburi bidang keusahawanan, menyertai latihan teknikal dan vokasional (TVET), serta program peningkatan kemahiran melalui upskilling dan reskilling.
“Ia bertujuan memberi ruang kepada mereka untuk meneroka perniagaan, sektor teknikal atau pekerjaan yang lebih stabil serta mampan dari segi pendapatan,” katanya.
Tegasnya, komitmen untuk terus mendengar suara penunggang, memahami cabaran dihadapi dan berusaha mencari penyelesaian yang praktikal serta lestari.
“Empati dan keprihatinan terhadap kebajikan penunggang serta isu lantai harga bukan sekadar nilai, sebaliknya menjadi asas kepada pembinaan ekosistem ekonomi gig yang adil, seimbang dan mampan,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Kebajikan penunggang perkhidmatan penghantaran perlu ditangani kerajaan secara menyeluruh
- Bryan Ng Yih Miin menekankan pentingnya menangani isu struktur bayaran dan lantai harga bagi penunggang
- Akan diadakan perbincangan dengan pelbagai pihak untuk cari penyelesaian adil dan mampan
- Langkah praktikal termasuk penggabungan penghantaran dan penggunaan teknologi untuk efisiensi
- Inisiatif jangka panjang termasuk peluang keusahawanan dan peningkatan kemahiran untuk penunggang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

