Nazir, AJK masjid dilarang pegang jawatan politik - Sultan Selangor

 Sultan Sharafuddin Idris Shah
Sultan Sharafuddin Idris Shah
A
A
A

KLANG - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menegaskan tidak mahu mendengar sebarang penglibatan nazir dan ahli jawatankuasa (AJK) masjid dan surau terlibat dalam politik kepartian kerana ia boleh menjejaskan keharmonian ahli kariah setempat.

Sultan Sharafuddin bertitah, larangan itu termasuk memegang apa-apa jawatan politik dalam masa sama dilantik sebagai nazir atau imam masjid dan surau kerana institusi itu perlu kekal sebagai pusat ibadah, dakwah dan penyatuan ummah.

"Beta sama sekali tidak membenarkan ahli-ahli politik yang cuba berselindung disebalik ceramah agama dan menggunakan surau serta masjid untuk kepentingan agenda politik masing-masing," titah baginda.

Titah itu disampaikan pada Majlis Pengurniaan Watikah Pelantikan kepada 850 nazir dan imam masjid seluruh Selangor di Balairung Seri, Istana Alam Shah di sini pada Rabu.

Menurut Sultan Sharafuddin, masjid dan surau tidak boleh dijadikan gelanggang politik, medan meraih sokongan atau platform kepentingan peribadi yang akhirnya membawa kepada perpecahan masyarakat Islam.

Sehubungan itu, Sultan Sharafuddin menegaskan, jawatan nazir dan imam bukanlah kedudukan untuk direbut, sebaliknya satu amanah besar yang akan dipersoalkan di hadapan ALLAH SWT.

"Beta tidak mahu orang-orang Melayu berpecah-belah hanya kerana gilakan jawatan dan tamakkan kuasa yang akhirnya nanti, akan merugikan bangsa Melayu itu sendiri," tegas baginda.

Baginda turut mengingatkan pengurusan masjid dan surau di negeri ini mengelakkan budaya fitnah dan penyebaran tohmahan dalam kalangan ahli kariah kerana perkara itu boleh merosakkan ukhuwah dan perpaduan umat Islam.

"Beta amat memandang serius budaya fitnah-memfitnah dan menyebarkan tohmahan terhadap mana-mana pihak terutama melalui media sosial," titah Sultan Selangor.

Artikel Berkaitan:

Sultan Sharafuddin bertitah, perbuatan itu amat bertentangan dengan ajaran Islam dan boleh merosakkan ukhuwah serta perpaduan di kalangan umat Islam.

"Janganlah ada dalam kalangan anda yang gemar menyebarkan berita tidak benar, memutarbelitkan fakta atau membesar-besarkan perkara kecil sehingga menimbulkan rasa tidak senang hati dalam kalangan ahli kariah dan masyarakat.

"Perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana jika tersilap langkah boleh menimbulkan perbalahan dalam kalangan masyarakat," titah baginda.

Menurut Sultan Selangor, setiap maklumat hendaklah disemak dengan mendalam dan diteliti kesahihannya, kerana fitnah itu dosanya lebih besar daripada membunuh.

"Ketahuilah bahawa beta sentiasa mengikuti perkembangan dan mengetahui apa yang berlaku di masjid dan surau di negeri ini dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas sekiranya perlu," titah Sultan Sharafuddin.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin turut memberi peringatan berkaitan pengurusan kewangan masjid dan surau supaya dilaksanakan dengan penuh amanah, ketelusan dan integriti.

"Wang masjid adalah hasil sumbangan orang ramai dan milik orang Islam, maka wang tersebut hendaklah digunakan sebaik mungkin untuk manfaat umat Islam dengan berpandukan hukum syarak.

"Beta tidak mahu agama Islam ini dipandang serong oleh penganut agama lain, cukup-cukuplah kesucian agama Islam dicemari dengan kisah-kisah penyelewengan yang melibatkan orang Melayu Islam sehingga ada di kalangan mereka telah diheret ke mahkamah akibat amalan rasuah, penyelewengan wang dan salah guna kuasa," titah baginda.

Sultan Sharafuddin menegaskan, sebarang bentuk penyelewengan dana tidak akan dikompromi dan semua akaun perlu diurus mengikut peraturan serta prosedur yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) termasuk penyerahan laporan kewangan setiap empat bulan.

Selain itu, baginda menyeru imam agar bukan sahaja mendalami ilmu agama, malah berkeupayaan memimpin masyarakat, menjadi pendamai serta penggerak perpaduan dalam kalangan ahli kariah.

"Imam dan Nazir masjid juga hendaklah sentiasa menjaga watak keperibadian, akhlak dan imej diri yang baik kerana mereka merupakan cerminan kepada institusi sesebuah masjid.

"Janganlah disebabkan kesalahan seorang individu, keseluruhan institusi masjid dipandang serong umpama peribahasa Melayu, kerana seekor kerbau membawa lumpur, habis semuanya terpalit," titah Sultan Selangor.

Sultan Sharafuddin turut menzahirkan penghargaan kepada Jawatankuasa Khutbah MAIS atas penyediaan teks khutbah berkualiti serta memuji kejayaan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang menarik lebih 100,000 pelawat sepanjang 2025.

"Kejayaan ini membuktikan masjid bukan sahaja berfungsi sebagai pusat ibadah, dakwah dan pendidikan malah boleh juga menjadi tarikan destinasi ikonik pelancongan Islam negara termasuk kepada pelancong bukan Islam.

"Beta juga turut menggalakkan agar masjid Iain turut mengambil inisiatif sama bagi mempromosikan masjid masing-masing secara berhemah dan tersusun, selaras dengan peranan masjid sebagai pusat ibadah dan mercu tanda Islam yang menjadi kebanggaan umat Islam khususnya di negeri Selangor ini.

"Beta berharap agar semua pihak dapat menghayati dan melaksanakan titah beta ini dengan penuh rasa tanggungjawab, keikhlasan dan ketakwaan kepada ALLAH SWT," titah baginda.

 

 

Ringkasan AI

  • Sultan Selangor tidak mahu nazir dan AJK masjid serta surau terlibat dalam politik kepartian
  • Nazir dan imam dilarang memegang jawatan politik untuk menjaga institusi masjid sebagai pusat ibadah dan penyatuan ummah
  • Sultan menegaskan masjid dan surau tidak boleh dijadikan arena politik atau platform untuk agenda peribadi
  • Pengurusan masjid dan surau diminta mengelakkan budaya fitnah dan penyebaran tohmahan
  • Sultan Sharafuddin memberi amaran tegas terhadap penyelewengan dana masjid dan menuntut pengurusan kewangan dengan amanah

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!