Isu penceroboh PJS4: Hasut boikot zakat perbuatan tidak bertanggungjawab – MAIS

SHAH ALAM - Tindakan menghasut umat Islam memboikot bayaran zakat susulan isu pencerobohan tanah perkuburan Islam di PJS4 disifatkan sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab dan boleh menjejaskan kesejahteraan golongan asnaf di negeri ini.
Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin berkata, tindakan itu dikesan tular di media sosial yang menggesa orang ramai tidak membayar zakat kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) serta menghentikan pelaksanaan wakaf di negeri ini.
Menurutnya, muat naik oleh seorang pengguna media sosial Threads pada Isnin itu hanya akan mengelirukan masyarakat Islam.
"Maklum balas diterima dalam hantaran berkenaan jelas mengandungi unsur hasutan yang boleh memberi kesan negatif kepada sistem pengurusan zakat dan wakaf di Selangor.
"Tindakan sebegini bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah berpotensi menjejaskan hak lapan golongan asnaf yang bergantung kepada bantuan hasil kutipan zakat serta merencatkan usaha membangun dan memajukan harta wakaf di Selangor," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Salehuddin menjelaskan, LZS berperanan mengurus, mengutip dan mengagihkan zakat secara sistematik bagi meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi asnaf, manakala Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) pula bertanggungjawab mengurus dan membangunkan harta wakaf demi kepentingan berterusan umat Islam.
Beliau menegaskan, isu pencerobohan tanah perkuburan Islam di PJS4 adalah di bawah bidang kuasa kerajaan Selangor dan tindakan penguatkuasaan sedang dilaksanakan mengikut undang-undang yang berkuat kuasa.
"MAIS sentiasa memantau sebarang pencerobohan melibatkan tapak masjid, surau dan institusi agama Islam.
"Sekiranya tanah terbabit adalah tanah kerajaan negeri yang diwartakan bagi maksud awam, MAIS akan bekerjasama dengan kerajaan Selangor dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi, tuduhan atau menyebarkan maklumat tidak benar berhubung isu berkenaan.
"Sebarang maklumat lanjut dan pengesahan hendaklah dirujuk melalui saluran rasmi pihak berkuasa yang berkaitan," tegas beliau.
Ringkasan AI
- Tindakan menghasut umat Islam memboikot bayaran zakat dan wakaf di Selangor kerana isu pencerobohan tanah perkuburan adalah tidak bertanggungjawab
- Kempen boikot itu tular di media sosial dan dilihat sebagai upaya mengelirukan masyarakat Islam
- Boikot tersebut boleh menjejaskan kesejahteraan asnaf dan memperlambat pembangunan harta wakaf di Selangor
- Lembaga Zakat Selangor dan Perbadanan Wakaf Selangor memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi asnaf
- Isu pencerobohan tanah perkuburan tersebut sedang ditangani oleh kerajaan Selangor dan tindakan penguatkuasaan sedang dilaksanakan mengikut undang-undang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

