Kebakaran tanah gambut: Asap belum memasuki ruang udara Singapura - Bomba

KOTA TINGGI – Asap daripada kebakaran tanah gambut di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Pengerang, di sini yang berlaku sejak Jumaat lalu, masih belum memasuki ruang udara Singapura.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPPM) Johor, Al Mustakim Abdul Hady berkata, perkara itu dimaklumkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Negeri.
“Saya difahamkan asap itu masih belum sampai, tetapi kita tetap berwaspada kerana sekiranya ia menyeberang, perhubungan diplomatik boleh terjejas. Kita sedang berusaha untuk mencegah keadaan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian sidang akhbar di Pusat Kawalan Bomba (PKB) Taman Bayu Damai pada Rabu.
Sejak kebakaran bermula Jumaat lalu, seramai 153 penduduk daripada 50 keluarga telah dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS), iaitu di Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kapal, sejak Sabtu.
Sebelum ini akhbar Singapura melaporkan, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) sedang memantau keadaan jerebu secara rapi selepas bau pembakaran dikesan di beberapa kawasan di Singapura pada malam Isnin.
Dalam satu catatan Facebook sekitar 10.30 malam, NEA memaklumkan titik panas terus dikesan di Malaysia di utara Singapura, berpunca daripada kebakaran hutan.
Agensi itu sebelum ini turut mengesahkan pihaknya telah mengesan satu titik panas serta kepulan asap di Johor yang berhampiran Singapura.
Ringkasan AI
- Asap daripada kebakaran tanah gambut di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Pengerang masih belum masuk ke ruang udara Singapura
- Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPPM) Johor menyatakan kesiapsiagaan terhadap potensi asap menyeberang yang boleh jejas hubungan diplomatik
- Sebanyak 153 penduduk daripada 50 keluarga telah dipindahkan ke pusat pemindahan sementara sejak kebakaran bermula
- Agensi Sekitaran Kebangsaan Singapura memantau keadaan jerebu dan telah mengesan titik panas di Malaysia
- Kebakaran hutan di utara Singapura menjadi punca asap yang dikesan di Singapura
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


