[VIDEO] Kebakaran tanah gambut: Sekolah di Pengerang beroperasi seperti biasa
KOTA TINGGI – Sesi persekolahan di kawasan terjejas susulan insiden kebakaran tanah gambut di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai, Pengerang masih diteruskan seperti biasa berikutan laluan asap tidak sampai ke kawasan sekolah.
Bagaimanapun menurut Exco Pendidikan dan Penerangan Johor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Aznan Mat Tamin, pemantauan rapi sedang dijalankan khususnya melibatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) bagi memastikan keselamatan pelajar sentiasa terjamin.

Selain itu pihaknya turut mengharapkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) dapat memaklumkan bacaan IPU di kawasan sekolah terlibat bagi memudahkan tindakan lanjut diambil sekiranya berlaku peningkatan terhadap bacaan berkenaan.
“Sekiranya bacaan IPU meningkat, pihak kami bersama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Tinggi akan mengambil tindakan sewajarnya, termasuk kemungkinan menutup sekolah.
“Setakat ini, sekolah masih beroperasi seperti biasa dan setakat ini seramai lapan pelajar daripada Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Bayu Damai terjejas akibat insiden tersebut, namun kesemua mereka masih meneruskan sesi persekolahan.
“Alhamdulillah, mereka masih mahu ke sekolah dan kita juga tidak memperketatkan syarat pemakaian seragam, sekiranya mereka tidak mempunyai pakaian sekolah yang lengkap, kita galakkan mereka hadir ke sekolah dengan pakaian biasa. Yang penting mereka teruskan pembelajaran,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
