'Kami tidur dalam asap, kebakaran terburuk dalam tempoh 10 tahun' - Penduduk

Suhaimi (kiri) menunjukkan lokasi kebakaran tanah gambut di Taman Bayu Damai, Pengerang sehingga penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat transit sementara.
Suhaimi (kiri) menunjukkan lokasi kebakaran tanah gambut di Taman Bayu Damai, Pengerang sehingga penduduk terpaksa dipindahkan ke pusat transit sementara.
A
A
A

KOTA TINGGI – Bilangan penduduk yang dipindahkan ke pusat transit sementara di Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai susulan kebakaran tanah gambut di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai meningkat kepada 52 mangsa daripada 17 keluarga pada Isnin.

Ketua Kampung Sungai Kapal, Suhaimi Sujak berkata, penduduk terpaksa berpindah kerana tidak tahan dengan asap dari kawasan tanah gambut yang terbakar sejak tiga hari lalu.

Menurutnya, kawasan yang terbakar terletak pada jarak kira-kira 50 hingga 100 meter dari penempatan penduduk.

“Bermula daripada dua buah keluarga, bilangannya semakin bertambah pada Isnin. Setakat ini, seramai 52 mangsa terdiri daripada 16 lelaki dewasa, 23 wanita dewasa dan 13 kanak-kanak telah dipindahkan.

“Pada awalnya, mereka bertahan di rumah, namun mula rasa tidak selesa serta mengalami sakit tekak, pedih mata dan sebagainya.

“Setakat ini, keadaan penduduk masih terkawal dan hanya menjalani pemeriksaan biasa akibat asap kebakaran tersebut,” katanya pada Isnin.

Jarak penglihatan terhad akibat asap tebal kebakaran tanah gambut di Taman Bayu Damai.
Jarak penglihatan terhad akibat asap tebal kebakaran tanah gambut di Taman Bayu Damai.

Sementara itu, penduduk, Amir Badri Mohd Nor, 38, memaklumkan dia mula berpindah ke pusat transit sejak Sabtu, selepas kebakaran bertukar serius dengan tiupan angin membawa asap tebal terus ke rumahnya.

Artikel Berkaitan:

“Walaupun semua tingkap dan pintu ditutup, asap tetap masuk ke dalam rumah melalui celah-celah kecil seperti lubang kunci dan bahagian bawah pintu.

“Pada petang Jumaat, keadaan memang teruk, jarak penglihatan sekitar 50 meter sahaja. Malam pula kami tidur dalam asap.

“Anak-anak mula batuk, mata gatal dan tekak perit. Kami terus berpindah demi keselamatan. Petugas Klinik Kesihatan Bayu Damai datang untuk melakukan pemeriksaan kesihatan,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Harita Jamal, 47, berkata beliau berpindah pada petang Ahad kerana bimbang keadaan ibunya yang sudah berusia dan mempunyai pelbagai penyakit.

“Masuk rumah pun dah rasa sakit dada dan sakit kepala. Mak saya pun takut pengsan. Kami pakai pelitup muka sepanjang masa sebelum berpindah ke pusat transit.

“Sudah 10 tahun menetap di kawasan ini. Kebakaran kali ini merupakan yang paling teruk pernah kami alami, walaupun kejadian sama pernah berlaku setiap tahun, namun kali ini paling teruk,” ujarnya.

Ringkasan AI

  • Bilangan mangsa kebakaran tanah gambut meningkat kepada 52 orang dari 17 keluarga
  • Penduduk berpindah kerana asap dari kebakaran tanah gambut yang berjarak 50-100 meter dari penempatan
  • Mangsa terdiri daripada 16 lelaki dewasa, 23 wanita dewasa, dan 13 kanak-kanak
  • Kondisi semakin teruk dengan asap tebal menyebabkan kesulitan bernafas, batuk, dan mata gatal
  • Kebakaran tanah gambut ini merupakan yang paling teruk dialami penduduk setempat dalam 10 tahun

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!