Dua keluarga dipindahkan, empat hektar tanah gambut terbakar

Anggota bomba memadam kebakaran tanah gambut di Jalan Sungai Kapal berhampiran Taman Bayu Damai. - FOTO: JBPM Johor
Anggota bomba memadam kebakaran tanah gambut di Jalan Sungai Kapal berhampiran Taman Bayu Damai. - FOTO: JBPM Johor
A
A
A

KOTA TINGGI – Dua keluarga terpaksa dipindahkan sementara ke kawasan selamat susulan kebakaran tanah gambut yang berlaku di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai di sini pada Ahad.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, Aznan Tamin memaklumkan, keluarga terlibat membabitkan empat orang dewasa dan dua kanak-kanak.

Menurut beliau, pemindahan dibuat ke Balai Komuniti Teluk Empang sebagai langkah keselamatan berikutan asap tebal yang menjejaskan kawasan kediaman, selain jarak rumah yang terlalu hampir dengan lokasi kebakaran.

Katanya, kebajikan mangsa sepanjang penempatan sementara itu ditanggung sepenuhnya oleh Pusat Khidmat DUN Tanjung Surat.

“Saya telah turun meninjau beberapa lokasi kebakaran terbuka yang berlaku akibat cuaca panas serta tiupan angin kencang di sekitar Taman Bayu Damai dan Lepau.

“Ketika ini, operasi pemantauan dan kawalan kebakaran sedang giat dijalankan oleh pasukan bomba dan penyelamat dari beberapa balai termasuk Bomba Punggai, Sebana, Sungai Rengit, Bandar Penawar, CEFS RAPID Pengerang serta Sukarelawan Bomba Sungai Rengit bagi memastikan keadaan terkawal dan selamat,” katanya.

Kebakaran tanah gambut berkenaan dianggarkan melibatkan keluasan kawasan kira-kira empat hektar. - Foto JBPM Johor
Kebakaran tanah gambut berkenaan dianggarkan melibatkan keluasan kawasan kira-kira empat hektar. - Foto JBPM Johor

Beliau turut menasihatkan penduduk yang terjejas supaya berpindah sementara demi keselamatan diri dan keluarga.

Artikel Berkaitan:

“Kerjasama semua pihak amat dihargai dan orang ramai diingatkan agar sentiasa berwaspada serta mengelakkan sebarang aktiviti pembakaran terbuka, khususnya ketika cuaca panas dan berangin,” katanya lagi.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Pegawai Bomba Kanan I Shahrizan Selamat berkata, kebakaran tanah gambut berkenaan dianggarkan melibatkan keluasan kawasan kira-kira empat hektar.

“Setakat ini, sekitar 57 peratus atau lima ekar kawasan terjejas telah berjaya dipadamkan. Tiupan angin menyebabkan asap tebal merebak ke kawasan perumahan Taman Bayu Damai,” jelasnya.

Beliau berkata, operasi pemadaman dibahagikan kepada dua sektor iaitu sektor A dan sektor B.

“Di sektor B, pemadaman menggunakan satu aliran hos sepanjang 500 kaki, satu breaching serta dua pancutan pam GP10/10 dengan sumber air daripada pili bomba berhampiran.

“Pemadaman di sektor A tidak dapat dijalankan berikutan sumber air yang jauh, selain kekuatan angin dan asap tebal yang memasuki kawasan penempatan penduduk menyebabkan anggota difokuskan sepenuhnya di sektor B,” tambahnya.

Ringkasan AI

  • Dua keluarga dipindahkan ke kawasan selamat akibat kebakaran tanah gambut di Kota Tinggi
  • Melibatkan empat dewasa dan dua kanak-kanak, dipindahkan ke Balai Komuniti Teluk Empang
  • Kebajikan mangsa tanggungan Pusat Khidmat DUN Tanjung Surat
  • Operasi pemantauan dan kawalan kebakaran oleh pasukan bomba dan penyelamat sedang dijalankan
  • Kebakaran dianggarkan melibatkan kawasan empat hektar, 57 pertus daripadanya telah dipadamkan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!