Kebakaran tanah gambut, 112 penduduk dipindah ke dua PPS

KOTA TINGGI – Seramai 112 penduduk daripada 39 keluarga ditempatkan ke dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) melibatkan Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kapal susulan kebakaran tanah gambut yang berlaku di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai.
Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Datuk Asman Shah Abd Rahman, kedua-dua PPS berkenaan dibuka dan diaktifkan mulai jam 4.30 petang di Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai, manakala PPS di SK Sungai Kapal diaktifkan pada jam 10.30 malam.
“Seramai 86 penduduk daripada 27 keluarga ditempatkan di dewan serbaguna sejak semalam (Isnin).
“Di SK Sungai Kapal pula, seramai 26 penduduk daripada 12 keluarga telah dipindahkan ke situ,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Tambah Asman Shah, PPS di Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai mula diaktifkan selepas satu mesyuarat penyelarasan insiden kebakaran di kawasan Taman Bayu Damai, Pengerang diadakan petang semalam.
Katanya, mesyuarat berkenaan juga memutuskan bahawa Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Kota Tinggi bersetuju untuk mengaktifkan PPS tersebut.
“Pengaktifan PPS bertujuan memindahkan penduduk yang terkesan dengan asap kebakaran tanah gambut di Taman Bayu Damai, Pengerang sahaja,” katanya.
Sementara itu, Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon berkata, susulan mesyuarat penyelarasan berkenaan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan memasang alat pemantauan udara GRIMM.
“Alat GRIMM akan dipasang bermula hari ini (Selasa) bagi tujuan memantau kualiti udara di kawasan Taman Bayu Damai dan tindakan akan diambil mengikut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) berada pada tahap tinggi.
“Pemantauan berterusan akan dijalankan sehingga kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Ringkasan AI
- KOTA TINGGI - Seramai 112 penduduk dari 39 keluarga ditempatkan di dua Pusat Pemindahan Sementara susulan kebakaran tanah gambut di Jalan Sungai Kapal, Taman Bayu Damai
- Dua PPS yang diaktifkan ialah Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai dan SK Sungai Kapal
- 86 penduduk dari 27 keluarga ditempatkan di dewan serbaguna dan 26 penduduk dari 12 keluarga di SK Kapal
- PPS diaktifkan selepas mesyuarat penyelarasan insiden kebakaran oleh Pengerusi JPBD Kota Tinggi
- Jabatan Alam Sekitar akan memasang alat pemantauan udara GRIMM untuk memantau kualiti udara dan mengikut Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan jika perlu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
