Kebakaran tanah gambut: Penduduk nekad pindah ke PPS demi keselamatan keluarga

Bebakaran tanah gambut di Jalan Sungai Kapal berhampiran Taman Bayu Damai, Kota Tinggi berlanjutan sejak Jumaat lalu.
Bebakaran tanah gambut di Jalan Sungai Kapal berhampiran Taman Bayu Damai, Kota Tinggi berlanjutan sejak Jumaat lalu.
A
A
A

KOTA TINGGI - Rata-rata penduduk Taman Bayu Damai mengakui mereka nekad membuat keputusan berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) kerana bimbangkan keselamatan keluarga masing-masing susulan kebakaran tanah gambut di Jalan Sungai Kapal berhampiran taman perumahan berkenaan sejak Jumaat lalu.

Penduduk, Nor Farhanah Abdullah, 34, berkata, arahan berpindah dipatuhi kerana memikirkan keselamatan dirinya, ibu mertua serta anak ketiganya yang baru berusia empat bulan.

Katanya, ia merupakan kali pertama dirinya berpindah ke PPS selepas 11 tahun bermastautin di Taman perumahan tersebut

"Biasanya penduduk dipindahkan ke PPS kerana berlaku banjir, namun kali ini agak berbeza kerana melibatkan bencana lain iaitu kebakaran tanah gambut.

"Semalam pagi keadaan ok sikit, lepas itu tengah hari asap semakin tebal, kemudian saya cakap pada mak ajak pindah ke PPS. Risau keadaan orang tua dengan anak saya.

"Lagi pun, saya ada bayi berusia empat bulan. Semuanya ada tiga orang tinggal di rumah termasuk mak mentua. Memikirkan anak kecil dan mak mentua kami cepat-cepat berpindah ke PPS," katanya ketika ditemui pemberita di PPS Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai di sini pada Selasa.

Suasana di PPS Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai, Kota Tinggi pada Selasa.
Suasana di PPS Dewan Serbaguna Taman Bayu Damai, Kota Tinggi pada Selasa.

Seorang lagi penduduk, Latifah Jamin, 68, berkata, keputusan berpindah ke PPS dibuat kerana bimbangkan keadaan kesihatan dirinya yang menghidap sakit jantung susulan kepulan asap kebakaran tanah gambut berkenaan memasuki rumahnya.

Artikel Berkaitan:

"Sejak menghidap sakit jantung saya memang mudah alami sesak nafas, jadi saya pindah ke PPS semalam. Kelmarin saya tiada di rumah kerana pergi ke rumah anak di Muar.

"Bila balik sahaja sini adik beradik terus minta saya pindah ke PPS kerana mereka tahu keadaan kesihatan saya dan bimbang jika berlaku apa-apa.

"Setakat ini, alhamdulillah saya baik-baik sahaja; lagipun di sini ada pasukan kesihatan yang disediakan di dewan jadi apa-apa mudah untuk rujuk," katanya.

Sementara itu, Harita Jamal, 47, berkata, insiden kebakaran tanah gambut berkenaan menjejaskan hidupnya kerana terpaksa mengambil cuti berkerja untuk menjaga ibunya yang uzur.

Malah, Harita turut mengakui mengalami sakit hidung, sakit dada serta sakit tekak yang disyaki berpunca akibat terhidu asap kebakaran tersebut.

"Untuk keselamatan, memang elok lah saya berpindah ke PPS hingga keadaan kembali pulih seperti biasa," katanya.

Ringkasan AI

  • Penduduk Taman Bayu Damai berpindah ke PPS kerana kebakaran tanah gambut
  • Nor Farhanah pindah bersama ibu mertua dan anak berusia empat bulan demi keselamatan
  • Kebakaran tanah gambut pengalaman pertama berbanding banjir biasa memaksa penduduk berpindah
  • Latifah Jamin, dengan kondisi sakit jantung, berpindah ke PPS kerana risau akan kesihatannya
  • Harita Jamal terpaksa mengambil cuti kerja dan mengalami simptom kesihatan akibat asap kebakaran

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!