Amanah Perak bimbang Musyawarah Nasional tidak berjaya

Asmuni
Asmuni
A
A
A

IPOH – Parti Amanah Negara (Amanah) Perak menyuarakan kebimbangan bahawa cadangan Musyawarah Nasional yang diuar-uarkan berisiko gagal sekiranya ia tidak dilaksanakan dengan keikhlasan serta komitmen yang konsisten daripada semua pihak terlibat.

Pengerusinya, Datuk Asmuni Awi berkata, walaupun Amanah menyokong hasrat penyatuan itu, keutamaan utama ketika ini adalah memastikan Kerajaan Perpaduan yang sedia ada terus kekal dan stabil sehingga tamat penggal pentadbiran.

“Kita setuju dengan hasrat perpaduan nasional, tetapi keutamaan kita adalah untuk mengekalkan Kerajaan Perpaduan.

"Musyawarah Nasional itu mesti membawa kepada pengukuhan kerajaan sedia ada, bukan sebaliknya sehingga menggugat kestabilan politik dan akhirnya menjejaskan kepentingan rakyat,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Asmuni berkata, kejayaan atau kegagalan Musyawarah Nasional sangat bergantung kepada keikhlasan dan konsistensi semua pihak dalam mematuhi persetujuan yang dicapai, bukannya didorong kepentingan politik sempit untuk menguatkan kelompok masing-masing.

"Asas persoalannya ialah matlamat sebenar musyawarah itu. Sama ada ia benar-benar untuk kesejahteraan rakyat merentas batas politik atau sekadar strategi mengukuhkan kekuatan parti masing-masing.

"Sejarah membuktikan, apabila tiba musim pilihan raya, komitmen sering berubah dan janji perpaduan gagal dipertahankan,” katanya.

Asmuni mengimbas kegagalan Muafakat Nasional yang menurutnya berpunca daripada ketidakkonsistenan dalam rundingan antara parti, termasuk perbincangan secara bersendirian dengan pihak lain sehingga menimbulkan rasa tidak selesa dan akhirnya membawa kepada perpecahan.

"Sejarah ini menimbulkan kebimbangan bahawa perkara sama akan berulang. Janji untuk mengukuhkan perpaduan akhirnya bertukar menjadi usaha mendominasi politik, menganggap diri sebagai ‘tuan besar’ dan meminggirkan parti lain yang akhirnya membawa kepada perpecahan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam masa sama, beliau menegaskan Musyawarah Nasional tidak wajar dijadikan platform untuk meminggirkan kaum lain atau membina dominasi satu kaum atau parti tertentu.

Beliau turut menyatakan keraguan sama ada parti-parti yang memiliki kekuatan besar sanggup berkompromi dengan melepaskan sebahagian kerusi sebagai tanda komitmen terhadap perpaduan.

"Saya menyokong usaha ke arah perpaduan, tetapi kebimbangan saya ialah sejarah yang sama akan berulang.

"Ini bukan soal menolak idea, tetapi realiti pengalaman politik yang telah berlaku berulang kali,” katanya.

Katanya, selagi matlamat akhir lebih tertumpu kepada keuntungan politik berbanding kepentingan rakyat dan negara, usaha Musyawarah Nasional sukar untuk direalisasikan secara berkesan.

Pada 16 Januari, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 memaklumkan bahawa parti itu akan menganjurkan Musyawarah Nasional bagi membicarakan agenda politik umat Melayu dengan melibatkan semua pertubuhan, pakar-pakar, ahli akademik dan profesional Melayu.

Ringkasan AI

  • Amanah Perak bimbang Musyawarah Nasional gagal jika tidak dilaksanakan dengan ikhlas
  • Keutamaan adalah memelihara Kerajaan Perpaduan yang sedia ada
  • Kejayaan Musyawarah Nasional bergantung pada keikhlasan dan konsistensi semua pihak
  • Musyawarah tidak patut jadi platform untuk meminggirkan kaum lain atau dominasi politik
  • Amanah Perak ragu usaha Musyawarah Nasional kerana sejarah perpecahan dan ketidakkonsistenan dalam politik

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!