BN pertahan kerusi Parlimen Kinabatangan, Naim Moktar menang majoriti besar

Mohd Naim Kurniawan. Foto: Bernama
Mohd Naim Kurniawan. Foto: Bernama
A
A
A

KINABATANGAN - Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan selepas calonnya, Mohd Naim Kurniawan Moktar menang bergaya dengan majoriti besar 14,214 undi dalam persaingan tiga penjuru.

Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Dr Eddy Syaizul Rizam Abdullah di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Sri Lamag di sini malam ini.

Mohd Naim Kurniawan atau lebih dikenali sebagai Naim Moktar, meraih 19,852 undi menewaskan dua pencabarnya iaitu Datuk Saddi Abdul Rahman daripada Parti Warisan yang memperoleh 5,638 undi manakala calon Bebas Goldam Hamid mendapat 946 undi.

Pilihan Raya Kecil Parlimen Kinabatangan diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, yang juga bapa kepada Mohd Naim Kurniawan pada 5 Disember tahun lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15, Bung Moktar mempertahankan kerusi Parlimen itu selepas meraih majoriti 4,330 undi menewaskan pencabarnya, Mazliwati Abdul Malek daripada Warisan.

Eddy Syaizul Rizam berkata, sebanyak 369 kertas undi yang ditolak pada PRK itu.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat pada PRK berkenaan dan berkata perjalanan proses demokasi berkenaan berjalan lancar tanpa sebarang gangguan.

Terdahulu, Mohd Naim Kurniawan, yang memakai baju kemeja T hitam hadir ke dewan itu pada 9.05 malam dengan diiringi Timbalan Pengerusi BN Datuk Jafry Ariffin. - Bernama

 

Artikel Berkaitan:

 

Ringkasan AI

  • Barisan Nasional (BN) berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan
  • Mohd Naim Kurniawan Moktar menang dengan majoriti 14,214 undi
  • Mohd Kurniawan Naim dapat 19,852 undi, mengalahkan Datuk Saddi Abdul Rahman dari Parti Warisan dan calon Bebas Goldam Hamid
  • Pilihan Raya Kecil diadakan susulan kematian Datuk Seri Bung Moktar Radin
  • Sebanyak 369 kertas undi yang ditolak pada pilihan raya kecil tersebut

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!