GMP sokong Musyawarah Nasional, penyatuan angkat martabat Melayu

IPOH – Gagasan Melayu Perak (GMP) menyifatkan pelawaan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar pertubuhan Melayu turut serta di dalam Musyawarah Nasional harus disambut baik sebagai langkah ke arah penyatuan orang Melayu di negara ini.
Presidennya, Norali Nordin berkata, GMP berpandangan pelawaan tersebut wajar diperluaskan kepada semua parti Melayu di seluruh negara agar usaha penyatuan dapat direalisasikan secara menyeluruh tanpa mengira perbezaan fahaman politik.
Menurut beliau, sudah tiba masanya orang Melayu kembali bersatu dan melupakan segala perbalahan demi menjamin hak serta masa depan generasi akan datang.
"Penyatuan ini bukan sahaja penting untuk memperkukuh kedudukan orang Melayu, malah mampu mengangkat martabat bangsa di mata kaum lain. Kaum lain akan lebih menghormati pendirian kita sekiranya orang Melayu dilihat bersatu hati dalam perkara yang menyentuh hak dan sensitiviti sebagai sebuah bangsa berdaulat
"Sudah sampai detiknya orang-orang Melayu kembali bertaut. Lupakan segala perbalahan di antara kita agar hak dan masa depan anak cucu kita terjamin," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Norali berkata, ketika ini terdapat segelintir individu dan pemimpin bukan Melayu yang bersikap ekstrem dengan mempersoalkan kedudukan serta keistimewaan orang Melayu di tanah air sendiri seolah-olah berlaku penindasan terhadap kaum mereka.
Beliau menegaskan, sikap sedemikian adalah kesan langsung daripada perpecahan dalam kalangan pucuk pimpinan Melayu yang gagal mengetepikan dendam serta cita-cita peribadi sehingga menimbulkan kegelisahan dalam kalangan orang Melayu.
"Pergaduhan sesama pimpinan Melayu turut menjadi asbab kedaulatan Raja-Raja Melayu dipertikaikan oleh pihak tertentu.
"Semua polemik ini perlu ditamatkan segera demi generasi hadapan orang Melayu,” katanya.
Sehubungan itu, GMP menyeru semua pihak agar menghentikan segera pergolakan dan perbalahan dalaman sebelum keadaan menjadi semakin parah dan sukar diperbaiki.
Pada 16 Januari, Ahmad Zahid ketika menyampaikan ucapan dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 memaklumkan bahawa parti itu akan menganjurkan Musyawarah Nasional bagi membicarakan agenda politik umat Melayu dengan merangkul semua pertubuhan, pakar-pakar, ahli akademik dan profesional Melayu.
Ringkasan AI
- Gagasan Melayu Perak mendukung seruan UMNO untuk penyatuan orang Melayu melalui Musyawarah Nasional
- Pelawaan Presiden UMNO untuk penyatuan perlu diperluaskan kepada semua parti Melayu
- Penyatuan orang Melayu penting untuk memperkukuh kedudukan dan meningkatkan martabat bangsa
- Perpecahan antara pimpinan Melayu menyebabkan kedaulatan Raja-Raja Melayu dipertikaikan
- Gagasan Melayu Perak menyeru hentikan pergolakan dan perbalahan untuk masa depan generasi akan datang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

