Suami isteri ditemui rentung, terperangkap dalam bilik tidur

KUDAT - Pasangan suami isteri warga emas ditemukan rentung dalam kejadian kebakaran di Kampung Lausan Batu 4, di sini pada malam Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.50 malam itu, mangsa lelaki berusia 74 tahun dan isterinya berusia 73 tahun masing-masing tidak sempat menyelamatkan diri dan terperangkap dalam kebakaran tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Darikson Galanang berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 11.58 malam.
Katanya, seramai 10 anggota dikejar ke lokasi yang terletak sejauh enam kilometer dari BBP Kudat.
"Komander operasi melaporkan berlaku kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal dua tingkat yang terbakar 100 peratus.
"Pasukan bomba menghadapi kesukaran untuk ke lokasi disebabkan jambatan yang sempit untuk dilalui dan wayar elektrik rendah menghalang jentera untuk lalu jalan tersebut," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya lagi, operasi pemadaman bagaimanapun segera dilakukan sebaik tiba dengan menggunakan satu aliran air dari tangki jentera bomba.
"Hasil pemeriksaan lanjut, terdapat dua mangsa pasangan suami isteri telah ditemui rentung pada jam 1 pagi di bahagian bilik tidur.
"Mangsa pertama berjaya dikeluarkan pada jam 2 pagi manakala mangsa kedua dikeluarkan pada jam 3.50 pagi. Kedua-dua mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya
Beliau berkata, operasi terkawal pada jam 1.30 dan ditamatkan pada jam 4.47 pagi.
Ringkasan AI
- Pasangan suami isteri warga emas ditemukan rentung dalam kejadian kebakaran di Kampung Lausan Batu 4, Kudat
- Mangsa berusia 74 tahun dan isterinya 73 tahun tidak sempat menyelamatkan diri daripada kebakaran
- Balai Bomba dan Penyelamat Kudat menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu
- Seramai 10 anggota bomba bergegas ke lokasi yang jaraknya enam kilometer dari balai
- Operasi pemadaman menghadapi kesukaran akibat jambatan sempit dan wayar elektrik rendah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
