PAU 2025: UMNO akan anjur Musyawarah Nasional, tumpu agenda politik Melayu

Ahmad Zahid berucap sesama ucapan dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), pada Jumaat. Foto SINARHARIAN-ROSLI TALIB
Ahmad Zahid berucap sesama ucapan dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), pada Jumaat. Foto SINARHARIAN-ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR – UMNO akan menganjurkan Musyawarah Nasional bagi membicarakan agenda politik umat Melayu dengan merangkul semua pertubuhan, pakar-pakar, ahli akademik dan profesional Melayu.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, penganjuran musyawarah itu menjadi sebahagian daripada kerangka pemulihan di bawah tiga langkah pemugaran atau pembaharuan politik UMNO.

Kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, ia kerana dalam menempuh jalan berliku ke hadapan, UMNO perlu memperkukuhkan pasak-pasak perjuangan bagi memastikan rumah bangsa berkenaan mampu menyediakan landasan untuk mara dengan lebih terarah.

“Untuk itu, suka saya menggariskan Pemugaran Upaya Politik UMNO yang melibatkan pertama, pemulihan keyakinan dan sokongan orang Melayu. Pemulihan mesti bermula dengan membetulkan naratif parti di mata rakyat.

“Ini merupakan proses menyeluruh untuk mengembalikan keyakinan bagi memperbaiki persepsi, memulihkan kredibiliti dan menampilkan UMNO sebagai wadah perjuangan Melayu yang relevan, segar dan berwibawa. Justeru dalam kerangka pemulihan ini, UMNO akan menganjurkan Musyawarah Nasional,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan dasar Presiden UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini pada Jumaat.

Ahmad Zahid berkata, langkah kedua UMNO mesti bersedia menjadi parti yang sentiasa terbuka terhadap penyertaan dan idea baharu walaupun datang daripada luar kerangka parti untuk mendepani perubahan budaya fikir dan pola bekerja.

Menurut beliau, ketiga UMNO perlu melakukan penjenamaan semula dalam kerangka kerjasama politik.

“Kita seharusnya menyedari keadaan sudah berubah, tuntutan generasi juga semakin rencam. Ini menuntut kita untuk menilai semula bentuk-bentuk kerjasama politik yang sesuai dengan situasi politik semasa.

Artikel Berkaitan:

“Ia termasuklah untuk kita mengkaji semula bentuk gabungan politik BN. BN telah berusia lebih 50 tahun dan perlu diberikan nafas baharu agar dilihat sesuai dengan tuntutan zaman. Rakan-rakan politik yang setia selama ini perlu dirangkul bagi menambah kekuatan dan sokongan,” tegasnya.

Untuk itu, kata Ahmad Zahid, UMNO mencadangkan satu proses penjenamaan semula yang menyeluruh dibuat bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Ringkasan AI

  • UMNO akan menganjurkan Musyawarah Nasional untuk membincangkan agenda politik umat Melayu
  • Musyawarah itu adalah sebahagian daripada tiga langkah pemugaran politik UMNO
  • Musyawarah bertujuan untuk memperkuatkan perjuangan dan memastikan UMNO relevan
  • Ahmad Zahid menekankan pentingnya pemulihan keyakinan dan sokongan orang Melayu
  • UMNO bertujuan untuk bersedia dengan penyertaan dan idea baru serta melakukan penjenamaan semula

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!