'Dia sendiri buka pintu, dia pula tutup'

KUALA TERENGGANU – Pas sentiasa konsisten menggalakkan penyatuan ummah namun mengakui wujud kekeliruan apabila isyarat kerjasama politik yang disuarakan pihak lain dilihat berubah-ubah dalam tempoh singkat.
Setiausaha Badan Perhubungan Pas Terengganu, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, sama ada di Terengganu mahupun di peringkat nasional, Pas merupakan sebuah parti yang sejak awal sentiasa berusaha ke arah penyatuan ummah atas dasar Islam, Melayu dan nilai perpaduan sejagat.
Menurutnya, penyatuan adalah perkara yang amat dituntut dalam agama kerana perpaduan menjadi asas kepada kekuatan manakala perpecahan hanya akan melemahkan umat Islam yang jumlahnya sendiri tidak terlalu besar.
"Apabila kita berpecah kepada puak dan kelompok kecil, potensi untuk menjadi lemah itu sangat besar. Sebaliknya, apabila kita bersatu, kita akan menjadi kuat. Itu prinsip yang jelas dalam Islam,” katanya.
Bagaimanapun, Wan Sukairi berkata, dalam konteks politik semasa di Terengganu, beliau sendiri tidak pasti dengan hala tuju sebenar kerjasama yang dicadangkan kerana terdapat kenyataan berbeza daripada kepimpinan UMNO negeri.
Jelasnya, beliau ada membaca laporan media yang menyatakan Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat berhasrat untuk bekerjasama dengan Pas, namun dalam tempoh satu atau dua hari kemudian Jawatankuasa UMNO Terengganu pula dilihat mengeluarkan kenyataan berbeza.
"Jadi saya sendiri tidak pasti apa yang sebenarnya berlaku. Ada yang kata pintu dibuka, kemudian ditutup semula. Kita hanya melihat, membaca dan menilai. Hari ini nampak dibuka, hari ini juga ditutup," katanya.
Beliau menegaskan, asas kepada kesatuan itu sendiri merupakan sesuatu yang sangat baik dan itulah yang diinginkan Pas sejak sekian lama, bukan hanya melibatkan UMNO malah sesiapa sahaja yang mahu bersatu atas dasar perpaduan dan kesatuan Melayu-Islam.
"Usaha menyatukan Melayu dan Islam ini bukan perkara baharu dan tidak terhad kepada mana-mana pihak. Namun, dalam keadaan sekarang, baru nampak pintu terbuka, tiba-tiba ditutup semula.
"Di situlah kita dapat menilai apa yang sedang berlaku. Perkara ini perlu ditanya kepada pihak satu lagi (UMNO)," ujarnya.
Baru-baru ini media tempatan melaporkan Rozi berkata, UMNO Terengganu sedia bekerjasama dengan Pas bagi menebus kekalahan dalam dua pilihan raya umum (PRU) berturut-turut sebelum ini.
Laporan berkenaan turut menyebut kerjasama tersebut selaras dengan cadangan Musyawarah Nasional bagi membincangkan agenda politik Melayu yang merangkumi penyertaan pertubuhan, pakar, ahli akademik dan profesional Melayu.
Bagaimanapun, UMNO Terengganu kemudiannya menegaskan parti itu tidak mempunyai sebarang hasrat untuk bergabung dengan Pas sama ada melalui Muafakat Nasional (MN) atau sebarang bentuk kerjasama politik lain.
Pengerusi Biro Hal Ehwal Islam Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu (BPUNT), Nurhisam Johari dilaporkan berkata, pendirian itu diambil berikutan kelemahan serius tadbir urus kerajaan negeri pimpinan Pas yang didakwa menjejaskan imej Islam.
Sebelum ini, UMNO mencadangkan pembentukan 'grand collaboration' atau kolaborasi agung bagi menyatukan parti-parti politik Melayu dan Islam di negara ini, seperti yang disuarakan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menggulung ucapan dasar sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Ringkasan AI
- Pas berusaha ke arah penyatuan ummah melalui nilai Islam, Melayu dan perpaduan sejagat
- Kekeliruan timbul apabila UMNO Terengganu ubah isyarat kerjasama dalam tempoh singkat
- Pas dan UMNO Terengganu memiliki pendirian yang berbeza mengenai kerjasama politik
- Penyatuan umat Islam dilihat sebagai kekuatan menurut prinsip Islam
- UMNO Terengganu menolak kerjasama dengan Pas atas dasar kelemahan tadbir urus negeri
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
