Miha nyanyi lagu kempen ucap terima kasih

KINABATANGAN – Sempat menyanyikan lagu yang menjadi identitinya sepanjang kempen, calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, Mohd Ismail Ayob atau lebih dikenali sebagai Miha menzahirkan rasa syukur dan terima kasih sebaik diisytiharkan sebagai wakil rakyat bagi kerusi tersebut.
Dalam suasana penuh emosi, Miha menghiburkan penyokongnya yang berada di luar pekarangan Dewan Sri Lamag dengan lirik lagu sering dibawanya sepanjang kempen yang mencerminkan perjalanan serta cabaran yang ditempuh sebelum meraih kepercayaan rakyat.
“Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih, sudah tentu kepada ibu dan juga keluarga, serta kepada pucuk pimpinan Presiden UMNO dan seluruh barisan kepimpinan UMNO.
“Terima kasih juga kepada Datuk Jafry Ariffin dan barisan kepimpinan UMNO negeri Sabah yang telah memberi ruang dan peluang kepada saya untuk meneruskan khidmat yang sebelum ini saya laksanakan melalui badan bukan kerajaan (NGO).
“Hari ini, khidmat itu diteruskan dengan amanah dan tanggungjawab yang besar untuk memikul tugasan membawa suara rakyat Lamag ke Dewan Undangan Negeri. Terima kasih kepada seluruh rakyat Lamag yang tidak henti-henti menyokong, dan juga kepada mereka yang tidak menyokong,” katanya selepas pengumuman keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Lamag oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Beliau turut menyuarakan harapan agar dengan berakhirnya PRK tersebut, hubungan semua pihak dapat disatukan kembali.
“Jadikan Lamag satu tempat, satu DUN dan satu daerah untuk berpadu kembali,” katanya.
Miha memperoleh sebanyak 7,269 undi dengan majoriti 5,681 undi.
Ringkasan AI
- Mohd Ismail Ayob dari Barisan Nasional (BN) diisytiharkan sebagai wakil rakyat DUN Lamag
- Miha mengucapkan terima kasih kepada penyokong dan pucuk pimpinan UMNO termasuk Presiden dan kepimpinan negeri Sabah
- Menyampaikan harapan untuk menyatukan kembali hubungan semua pihak pasca PRK
- Miha memperoleh 7,269 undi dengan majoriti 5,681 undi
- Peratusan keluar mengundi dalam PRK itu adalah 64.93 peratus
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
