PRK Kinabatangan: Tiga beranak naik bot ke pusat mengundi

KINABATANGAN - Biar pun berdepan dengan cabaran menyeberang Sungai Kinabatangan, dengan menggunakan bot tetapi itu bukan halangan bagi tiga beranak dari Kampung Bilit Seberang, menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kinabatangan yang berlangsung pada Sabtu.
Menurut Siti Zamziah Zaini, 42, memang sudah menjadi rutin penduduk dari seberang menggunakan pengangkutan bot untuk berulang alik dari kampungnya ke Kampung Bilit termasuk pada hari mengundi.
"Kami adik beradik dan emak rancang lebih awal dan berjanji akan pergi mengundi bersama-sama memandangkan kami semua perlu menaiki bot untuk ke pusat pengundian di SK Bilit.
"Memandangkan pengangkutan bot agak terhad, hanya bot pelancongan yang ada jadi kami perlu susun jadual seawal jam 8 pagi sudah bersedia untuk bergerak dalam satu bot bersama penduduk kampung lain yang akan mengundi.
"Perjalanan pula mengambil masa sekitar 10 minit untuk menyeberang mengikut keadaan arus sungai terutama ketika deras dan juga bot memandangkan ada bot yang sudah uzur," katanya ketika ditemui pemberita di jeti utama Kampung Bilit, di sini.
Diminta berkongsi apa cabaran yang mereka lalui untuk penduduk yang menggunakan bot untuk menyeberang, Siti Zamziah berkata, itu satu-satunya laluan bagi mereka untuk keluar dari kampung, sama ada anak-anak ke sekolah, ataupun urusan harian termasuk ke Klinik Kesihatan Sukau.
"Kalau hujan lebat, biasanya bahaya kepada penduduk kerana seperti saya katakan keadaan bot yang uzur dan kecil. Jadi perlu berhati-hati atau tangguhkan dulu perjalanan.
"Kalau air sungai cetek pula, kami juga perlu berhati-hati dengan ancaman haiwan liar seperti buaya. Sungai Kinabatangan memang terkenal dengan kehadiran haiwan tersebut dan memang habitatnya di sini.
"Biasanya kami akan memohon perlindungan daripada ALLAH supaya dipermudahkan dan dilancarkan perjalanan untuk menyeberang. Kadang-kadang memang akan terserempak dengan haiwan tersebut yang kami panggil dalam bahasa Sungai sebagai 'adu-adu' bermaksud 'nenek' supaya 'dia' tidak kacau perjalanan kami," katanya yang sudah selesai membuang undi sekitar jam 9 pagi.
Turut membuang undi bersamanya di SK Bilit iaitu ibunya, Maimunah Awang, 65, dan adiknya Siti Zam Hajijah, 38.
Sementara itu, dua beranak termasuk seorang pengundi muda, Siti Norsharina Abdullah, 21, datang seawal jam 8 pagi bersama ahli keluarga lain untuk menunaikan tanggungjawab mereka sebagai pengundi di Parlimen Kinabatangan.
"Ini kali kedua saya mengundi, yang pertama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kira-kira sebulan yang lalu. Jadi agak kurang sikit gementar kerana sudah ada pengalaman membuang undi.
"Lagipun, saya datang bersama emak dan sepupu serta ibu saudara. Kami datang beramai-ramai jadi tidaklah terlalu kekok," kongsinya sebagai pengundi muda di kawasan tersebut.
Seorang lagi warga emas, Awang Aziz, 83, antara pengundi awal yang datang membuang undi di sekolah sama berkata, proses pengundian kali ini agak unik kerana pada zaman dahulu tiada 'tanda' pada tangan sama ada sudah mengundi atau belum.
"Saya mengundi sejak zaman parti USNO lagi, jadi mungkin sudah 20 kali mengundi tetapi zaman dulu tiada calitan dakwat pada jari, jadi kalau mengundi waktu terdekat tiada bukti.
"Sekarang sudah ada dakwat, kesan dakwat undi PRN lepas masih ada dan hari ini jari kelingking dicelupkan dakwat sekali lagi," kongsinya.
Sebelum itu, Awang yang tiba dengan menaiki motosikal elektrik tiga roda dari rumahnya disambut petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dengan menyediakan kerusi roda untuknya untuk ke pusat membuang undi di saluran pertama di SK Bilit.
Beliau memaklumkan mengalami masalah kesihatan di bahagian kaki menyebabkan dia sukar untuk berjalan lebih lama dan terpaksa bergantung menggunakan tongkat untuk bergerak.
Ringkasan AI
- Penduduk Kampung Bilit Seberang menggunakan bot sebagai pengangkutan utama untuk menyeberangi Sungai Kinabatangan demi menunaikan hak mengundi dalam PRK Kinabatangan
- Pengangkutan bot terhad menjadikan penduduk merancang perjalanan mereka awal dan bersedia bergerak jam 8 pagi untuk mengundi
- Perjalanan menyeberang sungai mengambil masa 10 minit bergantung pada arus dan kondisi bot
- Cabaran termasuk cuaca buruk dan ancaman haiwan liar seperti buaya di Sungai Kinabatangan
- Mengundi di kalangan penduduk merangkumi pelbagai generasi termasuk pengundi muda dan warga emas, dengan penandaan dakwat sebagai bukti telah mengundi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
