PRK Kinabatangan, Lamag: Pengundi celup jari kelingking kiri esok - SPR

Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya membawa peti undi untuk dihantar ke Pusat Mengundi di Kuamut menggunakan helikopter di padang Majlis Daerah Kinabatangan. Foto Bernama
Petugas Suruhanjaya Pilihan Raya membawa peti undi untuk dihantar ke Pusat Mengundi di Kuamut menggunakan helikopter di padang Majlis Daerah Kinabatangan. Foto Bernama
A
A
A

KINABATANGAN - Penandaan dakwat kekal untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag akan dibuat pada jari kelingking tangan kiri pengundi semasa hari pengundian yang berlangsung pada Sabtu.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, dalam PRK tersebut, seramai 48,282 pengundi biasa bakal mengundi. 

"SPR telah menjalankan proses semakan peralatan mengundi seperti peti undi, dakwat pilihan raya, kertas undi, petak undi dan sebagainya bagi kegunaan hari mengundi dalam PRK Parlimen Kinabatangan dan PRK DUN Lamag.

"Seramai 1,106 petugas akan mengendalikan proses pengundian ini nanti. Sebanyak 36 pusat mengundi biasa yang mengandungi 117 tempat mengundi atau saluran digunakan bagi PRK Parlimen Kinabatangan dan PRK DUN Lamag.

"Di samping itu, penandaan dakwat kekal pada PRK ini akan dibuat pada jari kelingking tangan kiri pengundi yang hadir mengundi nanti," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Khairul Shahril berharap, semua pengundi menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi pada hari pengundian nanti.

"Pengundi dinasihatkan untuk tidak keluar mengundi pada saat-saat akhir dan digalakkan supaya keluar mengundi mengikut masa keluar mengundi yang digalakkan seperti mana yang tercatat dalam aplikasi MySPR Semak. 

"Bagaimanapun, pengundi masih boleh keluar mengundi mengikut kelapangan masa dari pukul 7.30 pagi hingga 5.30 petang atau mengikut waktu pusat mengundi yang diwartakan.

"SPR juga ingin memaklumkan sebanyak dua pusat mengundi akan ditutup pada jam 12 tengah hari manakala 34 pusat mengundi bagi PRK ini pula akan ditutup secara berperingkat mulai jam 1 tengah hari sehingga jam 5.30 petang mengikut masa mengundi yang telah ditetapkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau lagi, pengundi turut diingatkan supaya membawa kad pengenalan dan catatan maklumat pengundian serta menunjukkannya kepada Kerani Pengundian Pertama (KP1) di saluran. 

"Catatan maklumat pengundian itu akan memudahkan Kerani Pengundian membuat semakan nama pengundi serta membantu kelancaran proses pengundian pada Hari Mengundi. 

"Justeru, pengundi dinasihatkan untuk membuat semakan awal maklumat pengundian untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan mereka melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018 atau melalui aplikasi MySPR Semak.

"Pengundi diingatkan supaya tidak menyerahkan kad pengenalan mereka kepada pihak lain selain daripada petugas pilihan raya," katanya.

Dalam pada itu, SPR ingin mengingatkan majikan supaya membenarkan tempoh yang munasabah kepada pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi pada PRK tersebut sebagaimana diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Sebelum itu, PRK diadakan susulan penyandangnya, Datuk Seri Bung Moktar Radin meninggal dunia pada 5 Disember tahun lalu.

Kematian Bung Moktar hanya selepas kira-kira seminggu selepas kemenangannya di DUN Lamag pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.

Ringkasan AI

  • Penandaan dakwat kekal akan digunakan pada PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag
  • Seramai 48,282 pengundi biasa akan mengundi
  • Sebanyak 1,106 petugas akan mengendalikan proses pengundian dengan menggunakan 36 pusat mengundi
  • Pengundi dinasihatkan untuk keluar mengundi mengikut masa yang disarankan dan membawa kad pengenalan serta catatan maklumat pengundian
  • PRK itu diadakan susulan kematian penyandang, Datuk Seri Bung Moktar Radin

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!