Hajiji beri amaran, pecat PPM salah guna kuasa, abaikan rakyat

KOTA KINABALU - Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) di negeri ini diberi amaran tegas bahawa mereka akan dipecat sekiranya didapati menyalahguna kuasa dengan mengutamakan kepentingan peribadi dan mengabaikan tanggungjawab terhadap rakyat.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kesemua PPM yang dilantik harus menjalankan tugas dengan penuh integriti kerana mereka mewakili kerajaan negeri di kawasan masing-masing.
Beliau berkata, PPM yang berkhidmat di kawasan pembangkang, khususnya memikul tanggungjawab yang besar untuk meraih kepercayaan rakyat terhadap kerajaan negeri pimpinan GRS.
"Selain mematuhi arahan kerajaan, peranan PPM di kawasan pembangkang adalah mencabar. Kamu adalah mata dan telinga kerajaan. Laksanakanlah tugas dengan baik.
"Kamu mesti menjaga imej kerajaan. Jangan lakukan perkara demi kepentingan peribadi.
"Jika saya mendapati ada yang mengejar kepentingan sendiri dan mengabaikan rakyat, saya tidak akan teragak-agak untuk memecat mereka. Jangan salah gunakan kuasa tetapi berikan keutamaan kepada mereka yang benar-benar memerlukan bantuan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan majlis angkat sumpah fasa kedua bagi 35 PPM di Menara Kinabalu di sini pada Selasa.
Pelantikan PPM kali ini kebanyakannya akan berkhidmat di kawasan pembangkang dan sebelum ini, seramai 45 PPM telah mengangkat sumpah jawatan tersebut pada 13 Januari lalu.
Hajiji dalam pada itu menegaskan semula bahawa PPM mesti menjelaskan kepada peringkat akar umbi mengenai dasar, inisiatif dan pencapaian kerajaan negeri di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).
Hadir sama pada majlis itu ialah menteri-menteri kabinet dan Pengarah Unit PPM, Datuk Awang Kadin Tang.
Ringkasan AI
- Pemimpin Pembangunan Masyarakat di Sabah diberi amaran akan dipecat jika menyalahguna kuasa
- Mereka mesti menjalankan tugas dengan integriti dan mewakili kerajaan negeri
- Tugas di kawasan pembangkang mencabar dan mereka perlu meraih kepercayaan rakyat
- Perlu mematuhi arahan kerajaan dan menjaga imej kerajaan tanpa mengejar kepentingan peribadi
- Pelantikan terbaru melibatkan PPM yang akan berkhidmat di kawasan pembangkang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
