PRK Kinabatangan: Dua pusat mengundi ditutup 12 tengah hari

Cuaca di pusat mengundi SK Bilit kelihatan mula mendung ketika tinjauan sempena PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag hari ini. - Foto: Bernama
Cuaca di pusat mengundi SK Bilit kelihatan mula mendung ketika tinjauan sempena PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag hari ini. - Foto: Bernama
A
A
A

KINABATANGAN - Dua pusat mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan ditutup pada jam 12 tengah hari ini.

Perkara itu disahkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Dr Eddy Syaizul Rizam Abdullah kepada Bernama.

Menurut Warta Kerajaan Persekutuan bagi notis di bawah Subperaturan 11(5) Waktu Mengundi bagi PRK Parlimen Kinabatangan, dua pusat mengundi itu ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Inarad di Tongod yang mempunyai dua saluran dan SK Sri Ganda di Litang, yang mengandungi satu saluran.

Sebelum ini, sebanyak 36 pusat pengundian dengan 117 tempat mengundi atau saluran dibuka serentak pada 7.30 pagi ini.

Kesemua pusat mengundi berkenaan dibuka hingga jam 5.30 petang ini dan menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebanyak 34 pusat mengundi lagi akan ditutup secara berperingkat mulai 1 tengah hari hingga 5.30 petang mengikut masa mengundi yang telah ditetapkan.

Menurut SPR, proses pengundian hari ini melibatkan 48,282 pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat baharu Parlimen Kinabatangan.

Penjumlahan rasmi undi pula akan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Sri Lamag dan keputusan rasmi dijangka diumumkan pada 10 malam.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Kurniawan Naim Moktar, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag, pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Disember tahun lepas. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Dua pusat mengundi PRK Parlimen Kinabatangan ditutup pada jam 12 tengah hari
  • Pegawai Pengurus Pilihan Raya Dr Eddy Syaizul Rizam Abdullah mengesahkan penutupan tersebut
  • 36 pusat pengundian dengan 117 tempat mengundi dibuka serentak pada 7.30 pagi
  • Proses pengundian melibatkan 48,282 pengundi di Parlimen Kinabatangan
  • PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional, Warisan dan Bebas

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!