PRK Kinabatangan: Calon BN lancar manifesto, tawar 10 janji

KINABATANGAN - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Moktar pada Khamis melancarkan manifesto yang mengandungi 10 janji untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan kawasan itu.
Menerusi manifesto dimuat naik di Facebook rasminya, beliau berjanji akan menubuhkan Majlis Pembangunan Strategik Kinabatangan (MPSK) bagi merancang dan memantau pelan perancangan pembangunan Parlimen Kinabatangan selain wakil pembangkang juga akan dilantik bagi proses semak dan imbang.
Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan itu turut berjanji akan membentangkan laporan kewangan setiap enam bulan selain mewujudkan pusat pengumpulan hasil laut dan sungai bagi meningkatkan pendapatan nelayan serta menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam di Kinabatangan.
Turut terkandung dalam manifesto itu ialah penubuhan Yayasan Kinabatangan (Yakin) bagi bantuan pendidikan, kebajikan dan kecemasan; membina hab pelancongan dan kebudayaan; mentransformasikan Pusat Daerah Mengundi (PDM) sebagai Laman Stay Belia; memperkenalkan program Untung Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET); pelaksanaan e-tuiysen percuma serta penyediaan pemeriksaan kesihatan percuma secara berkala.
"Hari ini saya tidak datang membawa janji yang indah di bibir. Saya datang membawa pelan kerja yang boleh diaudit, dipantau dan dipersoalkan oleh rakyat. Saya mungkin muda, mungkin baru tetapi saya yakin, keikhlasan yang disusun dengan perancangan yang jelas akan mengalahkan janji kosong yang diulang-ulang.
"Saya mahu Kinabatangan bergerak ke hadapan dengan kerja, bukan retorik. Ambillah saya bekerja, tegurlah saya jika tersasar dan nilailah saya melalui hasil,” katanya.
PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim, Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala bagi DUN Lamag pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).
Pilihan raya kecil itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Disember tahun lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan Sabtu ini sebagai hari pengundian bagi kedua-dua PRK berkenaan. - Bernama
Ringkasan AI
- Calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Moktar, melancarkan manifesto yang mengandungi 10 janji
- Beliau berjanji menubuhkan Majlis Pembangunan Strategik Kinabatangan dan melantik wakil pembangkang untuk proses semak dan imbang
- Janji menyediakan laporan kewangan setiap enam bulan, membangun pusat pengumpulan hasil laut, dan menyediakan perkhidmatan pengangkutan awam
- Manifesto mencakup penubuhan Yayasan Kinabatangan, pembinaan hab pelancongan, dan pelaksanaan program pendidikan serta kesihatan percuma
- Mohd Kurniawan Naim menekankan keikhlasan dan perancangan yang jelas, bukan hanya janji kosong, untuk majukan Kinabatangan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

