Pekerja ladang dengar tangisan, jumpa bayi dalam kotak

Bayi lelaki cukup sifat dengan berat 2.4 kilogram itu ditemukan oleh seorang pekerja ladang di kawasan ladang si Sukau, Kinabatangan pada Sabtu.
Bayi lelaki cukup sifat dengan berat 2.4 kilogram itu ditemukan oleh seorang pekerja ladang di kawasan ladang si Sukau, Kinabatangan pada Sabtu.
A
A
A

KINABATANGAN - Seorang pekerja ladang yang sedang mengambil buah kelapa sawit terkejut selepas terdengar suara tangisan bayi sebelum menemuinya di dalam kotak di kawasan ladang di Sukau, di sini pada Sabtu.

Bayi lelaki cukup sifat dengan berat 2.4 kilogram itu ditemukan kira-kira jam 2.20 petang sebelum perkara itu dilaporkan kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintenden D Ravi berkata, bayi tersebut ditemukan seorang pekerja yang sedang melakukan kerja di ladang sebelum memaklumkan kepada pihak pengurusan.

"Pihak pengurusan kemudian telah membawa bayi berkenaan ke klinik ladang bagi rawatan awal sebelum dihantar ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan lanjut.

"Pemeriksaan awal mendapati bayi yang ditemui masih bernyawa dan dianggarkan berusia antara tiga hingga lima hari dengan berat kira-kira 2.4 kilogram," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Katanya lagi, bayi tersebut dilaporkan berada dalam keadaan stabil, cukup sifat serta tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Bayi itu akan dirujuk ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan, bagi pemantauan lanjut dan tindakan susulan oleh pihak kebajikan.

"Siasatan awal mendapati lokasi kejadian tidak mempunyai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan tiada saksi yang tampil setakat ini," katanya.

Susulan itu, Ravi berkata, tiada tangkapan dibuat setakat ini dan usaha mengesan individu terlibat sedang giat dilakukan.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi. Jika disabit kesalahan, boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta menghubungi pihak polis di talian 089-561890 atau pegawai penyiasat, Inspektor Nur Syafiqah Dahon di talian 014-5573735 bagi membantu siasatan," katanya

Ringkasan AI

  • Pekerja ladang terkejut dengar tangisan bayi dan menemui bayi dalam kotak di ladang Sukau
  • Bayi lelaki berusia tiga hingga lima hari dengan berat 2.4 kilogram ditemukan dan dalam keadaan stabil
  • Bayi tersebut dibawa ke klinik ladang sebelum hantar ke Hospital Kinabatangan untuk rawatan lanjut
  • Tiada tangkapan dibuat dan polis sedang giat mencari individu terlibat
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!