Lelaki maut, pacuan empat roda jatuh dalam lubang pembentungan

LAHAD DATU - Seorang lelaki maut manakala rakannya patah tangan selepas pacuan empat roda yang mereka naiki mereka terbabas dan terjunam masuk ke lubang pembentungan dalam kejadian di Jalan Pantai di sini pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, Muhammad Almadi Hassan disahkan meninggal dunia di lokasi manakala pemandu kenderaan, Wilyamil Ahajul, 34, patah tangan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 7.08 pagi.
Katanya, seramai 14 anggotanya dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh dua kilometer dari BBP Lahad Datu.
"Komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan kenderaan jenis Toyota Vigo terbabas sendiri dan melanggar penghadang lalu terjatuh ke dalam lubang pembentungan yang sedang dalam proses pembinaan.
"Terdapat dua mangsa dan operasi mengeluarkan mangsa yang berada di dalam lubang pembentung pada kedalaman tujuh meter segera dilakukan dengan menggunakan tali dan alat pengusung.
"Seorang mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan di tempat kejadian, manakala seorang lagi dilaporkan mengalami patah tangan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya lagi, mangsa yang meninggal diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
"Mangsa yang cedera pula dibawa ke hospital menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.
"Tindakan pasukan bomba seterusnya memasang sawar-sawar di tempat kejadian sebelum operasi ditamatkan pada jam 9.07 pagi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
