36 pusat mengundi PRK Kinabatangan, Lamag dibuka 7.30 pagi ini

Pengundi terawal di SK Bilit, Sukau, hadir awal untuk membuang undi sebaik pusat mengundi dibuka jam 7.30 pagi.
Pengundi terawal di SK Bilit, Sukau, hadir awal untuk membuang undi sebaik pusat mengundi dibuka jam 7.30 pagi.
A
A
A

KINABATANGAN - Sebanyak 36 pusat pengundian dengan 117 tempat mengundi atau saluran bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag dibuka serentak pada jam 7.30 pagi ini.

Kesemua pusat mengundi berkenaan dibuka hingga 5.30 petang dan menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebanyak dua pusat mengundi ditutup pada 12 tengah hari, manakala 34 pusat mengundi pula ditutup secara berperingkat mulai 1 tengah hari hingga 5.30 petang mengikut masa mengundi yang telah ditetapkan.

Menurut SPR, proses pengundian hari ini melibatkan 48,282 pengundi yang akan menunaikan tanggungjawab mereka bagi memilih wakil rakyat baharu Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag.

Penjumlahan rasmi undi pula akan berlangsung di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi iaitu di Dewan Sri Lamag dan keputusan rasmi dijangka diumumkan pada 10 malam.

Proses pengundian dikendalikan 1,106 petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selain 926 pegawai dan anggota polis yang ditugaskan pada hari mengundi.

Pada Selasa lepas, SPR memaklumkan sebanyak 93 peratus atau 176 anggota polis telah menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi awal bagi kedua-dua PRK berkenaan yang berlangsung di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan.

PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru antara Mohd Kurniawan Naim Moktar mewakili Barisan Nasional (BN), Datuk Saddi Abdul Rahman (Warisan) dan Goldam Hamid (Bebas), manakala bagi DUN Lamag pertandingan satu lawan satu antara Mohd Ismail Ayob (BN) dan Mazliwati Abdul Malek (Warisan).

Kesemua lima calon akan mengundi pada PRK berkenaan dengan Mohd Kurniawan Naim akan mengundi di SK Bilit, Saddi (SK Batu Puteh), Goldam (SK Pekan Tongod), Mohd Ismail (SK Bukit Garam II) dan Mazliwati di SK Buang Sayang.

PRK berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Disember tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Bung Moktar mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan selepas memperoleh majoriti 4,330 undi dengan menewaskan pencabarnya Mazliwati daripada Warisan.

Bung Moktar turut melakar kemenangan dalam saingan lima penjuru di DUN Lamag pada Pilihan Raya Negeri Sabah, 29 November lepas dengan memperoleh majoriti 153 undi. - Bernama

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Sebanyak 36 pusat pengundian dengan 117 tempat mengundi dibuka untuk PRK Parlimen Kinabatangan dan DUN Lamag
  • Proses pengundian melibatkan 48,282 pengundi
  • Penjumlahan rasmi undi akan berlangsung di Dewan Sri Lamag dengan keputusan dijangka pada 10 malam
  • Sejumlah 1,106 petugas SPR dan 926 pegawai polis ditugaskan
  • PRK Parlimen Kinabatangan menyaksikan saingan tiga penjuru dan DUN Lamag pertandingan satu lawan satu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!