Pematuhan tali pinggang keledar penumpang bas ekspres hampir 100 peratus

Mohd Misuari (tengah) melihat buku catatan pemandu bas.
Mohd Misuari (tengah) melihat buku catatan pemandu bas.
A
A
A

KOTA BHARU – Pemakaian tali pinggang keledar dalam kalangan penumpang bas ekspres di Kelantan mencatat tahap pematuhan hampir 100 peratus sejak November tahun lalu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, Mohd Misuari Abdullah berkata, peningkatan ketara itu hasil pendekatan berterusan pihaknya yang bukan sahaja menumpukan kepada operasi penguatkuasaan, malah pemeriksaan secara langsung di dalam bas serta program advokasi keselamatan bersama pengusaha bas.

“Jika sebelum ini masih ada ketidakpatuhan, kini pematuhan hampir menyeluruh.

“Penumpang bas ekspres mematuhi arahan pemakaian tali pinggang keledar,” katanya kepada pemberita selepas Merasmikan Kursus Peningkatan Jati Diri, Disiplin dan Profesionalisme Kakitangan serta Pelancaran Lagu Rasmi Queen Express di sini pada Isnin.

Mohd Misuari (kanan) menunjukkan kemudahan tali pinggang keledar dalam bas ekspres.
Mohd Misuari (kanan) menunjukkan kemudahan tali pinggang keledar dalam bas ekspres.

Menurut Misuari, pematuhan tersebut dipantau menerusi pemeriksaan rawak di stesen penguat kuasa serta semakan terus ke atas pemandu dan penumpang bas yang melalui laluan utama, keluar masuk Kelantan.

Beliau berkata, JPJ turut melaksanakan operasi bersepadu bersama pengusaha bas bagi memastikan aspek keselamatan dipatuhi tanpa kompromi.

“Selain penguatkuasaan, kami juga menekankan elemen peringatan dan pendidikan.

Artikel Berkaitan:

“Pegawai JPJ akan naik ke dalam bas untuk memastikan pemandu mematuhi syarat lesen dan penumpang memakai tali pinggang keledar,” katanya.

Tambahnya, pendekatan promosi keselamatan melalui media sosial serta kerjasama bersama pempengaruh turut membantu meningkatkan kesedaran awam terhadap kepentingan pemakaian tali pinggang keledar.

Untuk rekod, sepanjang penguatkuasaan dari 1 hingga 31 Julai 2025, JPJ memeriksa 838 bas ekspres dan daripada jumlah itu, empat pemandu serta 236 penumpang direkodkan tidak memakai tali pinggang keledar selain empat bas tidak dipasang tali pinggang keledar.

Dalam tempoh sama, pemeriksaan ke atas 151 bas persiaran, hanya satu tindakan diambil membabitkan seorang pemandu tidak memakai tali pinggang keledar manakala tiada kes penumpang gagal memakai tali pinggang keledar atau bas persiaran yang tidak dilengkapi kemudahan tersebut.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi Eksekutif Queen Ekspress, Mohd Suffian Daud berkata, syarikat itu memperkenalkan kemudahan kerusi urut dalam 20 bas ekspres sebagai nilai tambah kepada penumpang, khususnya bagi perjalanan jarak jauh melibatkan laluan antara Kelantan ke beberapa negeri di Semenanjung.

Mohd Misuari (kiri) mencuba kerusi urut sambil mendengar penerangan Mohd Suffian.
Mohd Misuari (kiri) mencuba kerusi urut sambil mendengar penerangan Mohd Suffian.

Beliau berkata, setakat ini bas dilengkapi kerusi urut membabitkan laluan ke Lembah Klang, Ipoh, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.

“Pemasangan kerusi urut ini mematuhi spesifikasi ditetapkan termasuk kewajipan pemakaian tali pinggang keledar.

“Pelanggan boleh guna kemudahan ini pada bila-bila masa tanpa sebarang caj tambahan, hanya beli tiket untuk perjalanan bas sahaja,” katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • Pemakaian tali pinggang keledar oleh penumpang bas ekspres di Kelantan mencatat pematuhan hampir 100 peratus sejak November tahun lalu
  • Peningkatan pematuhan adalah hasil pendekatan penguatkuasaan dan program advokasi keselamatan oleh JPJ bersama pengusaha bas
  • Pematuhan dipantau menerusi pemeriksaan rawak di stesen dan semakan langsung ke atas pemandu serta penumpang
  • JPJ menekankan elemen peringatan, pendidikan dan melaksanakan operasi bersepadu untuk memastikan keselamatan
  • Pendekatan promosi keselamatan termasuk melalui media sosial dan kerjasama bersama pempengaruh membantu meningkatkan kesedaran pemakaian tali pinggang keledar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!