RXZ Forever Legend: JPJ akan lakukan pemeriksaan rawak terhadap peserta

KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan akan melaksanakan pemeriksaan secara rawak terhadap penunggang dan pembonceng motosikal di program RXZ Forever Legend yang bakal berlangsung di RTC Tunjong, di sini, pada 6 dan 7 Februari ini.
Pengarah JPJ Kelantan, Mohd Misuari Abdullah, berkata, tumpuan pemeriksaan merangkumi aspek keselamatan dan pematuhan undang-undang jalan raya sebelum, semasa dan selepas program.
“Fokus utama pemeriksaan ialah pemakaian topi keledar, tahap pengubahsuaian motosikal termasuk penggunaan ekzos terlalu bising.
"Ini bertujuan memastikan keselamatan pengguna jalan raya terpelihara dan pematuhan undang-undang jalan raya terus dipatuhi oleh semua peserta program,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Merasmikan Kursus Peningkatan Jati Diri, Disiplin dan Profesionalisme Kakitangan serta Pelancaran Lagu Rasmi Queen Express di sini pada Isnin.
Turut hadir, Pengerusi Eksekutif Queen Ekspress, Mohd Suffian Daud.
Menurut Mohd Misuari, setiap individu yang memiliki dan menunggang motosikal sepatutnya memahami tanggungjawab asas termasuk memiliki lesen memandu yang sah, cukai jalan dan perlindungan insurans tanpa perlu diingatkan.

Beliau berkata, setakat ini pihaknya belum menerima sebarang arahan khusus daripada ibu pejabat berhubung penguatkuasaan khas sempena program berkenaan, namun pemantauan tetap akan dilaksanakan seperti biasa.
“Dari segi penguatkuasaan, kami ada pasukan risikan dan pasukan pemantau sendiri.
“Kami tidak akan biarkan keadaan begitu sahaja dan jika ada kesalahan, tindakan akan diambil,” katanya.
Mengulas kehadiran peserta, beliau berkata, program sedekimian bukan kali pertama dianjurkan dan kebanyakan peserta sebelum ini menunjukkan sikap berdisiplin serta boleh menerima teguran.
“Jika dokumen tidak lengkap atau menggunakan motosikal dengan pengubahsuaian ekstrem dinasihatkan supaya tidak hadir.
“Kalau lengkap, motosikal dalam keadaan standard dan datang dengan sikap berhemah, silakan hadir, kami alu-alukan,” katanya.
Beliau turut mengingatkan peserta supaya mengelakkan aksi berbahaya atau berlumba memandangkan laluan ke lokasi program turut melalui jalan kampung.
Akhbar sebelum ini melaporkan program berkenaan dianjurkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan difahamkan mendapat kelulusan kerajaan negeri serta pihak polis.
Ringkasan AI
- JPJ Kelantan akan melakukan pemeriksaan rawak pada program RXZ Forever Legend di RTC Tunjong
- Tumpuan pemeriksaan termasuk keselamatan dan pematuhan undang-undang lalu lintas
- Pemeriksaan utama pada pemakaian topi keledar dan tahap pengubahsuaian motosikal
- Penunggang sepatutnya memahami tanggungjawab memiliki lesen memandu, cukai jalan dan perlindungan insurans
- Peserta dinasihatkan untuk tidak hadir jika dokumen tidak lengkap atau motosikal diubahsuai secara ekstrem
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


