Datang balai, baling rim motosikal, tumbuk muka anggota polis

ISKANDAR PUTERI - Seorang lelaki tempatan ditahan selepas bertindak agresif dan menyerang seorang anggota polis yang sedang bertugas di Balai Polis Mutiara Rini pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan berkata, pihaknya menerima maklumat daripada anggota kaunter aduan balai polis berkenaan pada kira-kira jam 3.40 petang mengenai kehadiran seorang lelaki dalam keadaan agresif dan berkelakuan tidak senonoh.
“Suspek berusia 22 tahun itu dipercayai bertindak membaling satu rim motosikal serta menumbuk muka seorang anggota polis yang sedang bertugas.
"Berlaku pergelutan dengan pihak polis sebelum suspek ditahan. Akibat kejadian itu, anggota polis yang diserang mengalami kecederaan lebam di bahagian mata kanan dan bahu, selain bengkak di kaki kiri," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, hasil semakan mendapati suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Bagaimanapun, suspek yang kelihatan seperti kurang siuman itu telah dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru bagi pemeriksaan dan rawatan lanjut.
"Beberapa barangan daripada suspek turut dirampas termasuk sebuah beg silang yang mengandungi sebilah pisau serta satu rim motosikal.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Api Berbahaya 1958,"ujarnya lagi.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki tempatan ditahan selepas menyerang anggota polis di Balai Polis Mutiara Rini
- Suspek berusia 22 tahun membaling rim motosikal dan menumbuk muka anggota polis
- Anggota polis yang diserang mengalami kecederaan lebam dan bengkak
- Suspek dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah untuk pemeriksaan dan rawatan
- Kes disiasat di bawah beberapa seksyen termasuk Seksyen 353 Kanun Keseksaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

