'Jika tiada urusan penting, tangguhkan perjalanan ke Thailand hingga pilihan raya tamat'

Kamarudin
Kamarudin
A
A
A

KOTA BHARU – Pelancong yang berhasrat bercuti ke Thailand disaran menangguhkan perjalanan buat sementara sehingga pilihan raya negara itu selesai bulan depan, kata Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Negeri Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor.

Menurutnya, negara jiran itu kini melalui fasa kempen pilihan raya yang lazimnya memberi kesan terhadap suasana semasa.

“Baru-baru ini berlaku insiden serangan bom dan bukan sesuatu yang luar biasa di sana.

“Mereka kini sedang berkempen pilihan raya, jadi jika tiada urusan yang benar-benar penting, lebih baik tangguhkan dulu perjalanan ke Thailand,” katanya kepada pemberita.

Pada 27 Disember tahun lalu, Thailand memulakan tempoh kempen pilihan raya umum apabila parti-parti politik di negara itu mula mendaftarkan calon di Bangkok dan 76 wilayah lain untuk bertanding bagi kerusi Dewan Perwakilan.

Hari pengundian dijadualkan pada 8 Februari ini dengan pengundi akan memilih 500 ahli Dewan Perwakilan untuk tempoh lima tahun di bawah sistem pilihan raya dua undi Thailand.

Menurut Kamarudin, tempoh kempen pilihan raya di negara terbabit lazimnya mengambil masa kira-kira sebulan dan dijangka berakhir dalam satu hingga dua minggu lagi.

Beliau turut menjelaskan bahawa suasana menjadi lebih sensitif ketika pilihan raya berlangsung bukan sesuatu yang luar biasa dan turut berlaku di beberapa negara lain yang sedang melalui proses demokrasi

“Di Malaysia, kita bersyukur kerana proses pilihan raya berjalan dalam suasana yang relatif tenang.

Artikel Berkaitan:

“Berbeza di sesetengah negara, kempen pilihan raya ada babitkan insiden keselamatan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar sentiasa peka terhadap perkembangan semasa dan mengutamakan keselamatan diri ketika merancang perjalanan ke luar negara.

Pada Isnin, akhbar melaporkan pihak keselamatan Thailand bekerjasama dengan pihak berkuasa Malaysia, dalam usaha memburu tiga suspek yang disyaki terlibat dalam meletupkan bom secara serentak ke atas 12 stesen minyak di selatan Thailand pada 11 Januari lalu.

Suspek-suspek kini dipercayai bersembunyi di kawasan sempadan kedua-dua negara.

Komander Tentera Wilayah ke-4 Thailand Lt Jen Naratip Phoyanok sebelumnya turut mendedahkan hasil pemeriksaan DNA oleh Bahagian Forensik Wilayah Narathiwat, mengenal pasti tiga individu sebagai pelaku utama serangan ke atas stesen minyak di Kampung Dusong Nyo, Mukim Dusong Nyo, Daerah Chanae, Narathiwat.

Ringkasan AI

  • Pelancong disaran tangguhkan perjalanan ke Thailand sehingga pilihan raya selesai
  • Thailand sedang melalui fasa kempen pilihan raya yang memberi kesan kepada suasana semasa
  • Baru-baru ini berlaku insiden serangan bom di Thailand
  • Hari pengundian dijadualkan pada 8 Februari dengan pengundi memilih 500 ahli Dewan Perwakilan
  • Orang ramai dinasihatkan peka terhadap perkembangan semasa dan mengutamakan keselamatan diri

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!